Search This Blog

Friday, August 13, 2010

Diacu kapak

KUANTAN: “Kelu lidah saya kerana hari kedua Ramadan disambut dengan pengalaman menakutkan apabila diacu kapak dan pemutar skru oleh tiga penyamun yang menceroboh rumah saya.
“Saya anggap kejadian ini ujian Allah supaya bersabar dengan dugaan sempena bulan mulia ini,” kata suri rumah yang hanya dikenali sebagai Ema, 35, selepas rumahnya di Taman Mutiara Perdana, Sungai Karang dimasuki tiga penyamun dipercayai warga asing, semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 2.30 pagi, mangsa kerugian RM2,000 termasuk barang kemas dan tiga telefon bimbit selepas tiga penyamun tidak bertopeng menceroboh masuk dengan mencungkil pintu bahagian tepi rumah menggunakan pemutar skru.

Mangsa terjaga dari tidur disebabkan bunyi bising di luar rumah dan bangun untuk memeriksa.

Belum sempat keluar bilik, dia melihat seorang lelaki tercegat berdiri di depan pintu dan mengacukan kapak dan pemutar skru.

Menurutnya, penyamun terbabit mengarahkannya masuk semula dalam bilik sebelum mengejutkan suaminya dan mengikat tangan suaminya menggunakan dawai pagar dipercayai diambil dari rumah jiran.

Katanya, dia merayu supaya tidak diikat kerana mempunyai empat anak berusia dua tahun hingga 11 tahun sebelum penyamun terbabit memintanya menutup lampu beranda.

Ema berkata, selepas merampas wang tunai dan barang kemas rantai leher, cincin, subang, gelang tangan dan tiga telefon bimbit, penyamun itu mengejutkan pula adik lelakinya berusia 25 tahun yang tidur bersama isteri berusia 19 tahun di ruang tamu.

“Adik cuba melarikan diri ke luar rumah dalam keadaan tangan terikat sambil dikejar seorang daripada penyamun itu, tetapi kedua-duanya tersungkur jatuh akibat lantai licin.

“Berlaku pergelutan antara adik dan penyamun terbabit sebelum kami menjerit meminta tolong menyebabkan tiga penyamun itu melarikan diri.

“Saya sendiri hairan adik yang tidur bersama isterinya di ruang tamu tidak dengar bunyi bising di luar rumah,” katanya.

No comments:

Post a Comment