Search This Blog

Friday, August 13, 2010

'Dakwa ikut Seksyen 302'

KUALA LUMPUR: Pesalah kes buang bayi kini berdepan dengan hukuman lebih berat termasuk hukuman gantung sampai mati jika disabitkan kesalahan membunuh selepas kes pembuangan bayi diklasifikasi sebagai kes bunuh.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berkata, Kabinet kelmarin memutuskan kes pembuangan bayi disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan selepas melihat kes berkenaan yang semakin menjadi-jadi sejak kebelakangan ini.
“Kita sekali lagi membawa isu pembuangan bayi ke mesyuarat Jemaah Menteri kerana walaupun pelbagai langkah sudah diambil kerajaan, ia masih berleluasa dan memutuskan agar hukuman lebih berat dikenakan.

“Kerajaan tiada pilihan lain lagi kerana pembuangan bayi kini menjadi budaya di negara kita seolah-olah berada pada zaman jahiliah
“Justeru, Polis Diraja Malaysia (PDRM) diminta menyiasat kes ini sebagai kes cubaan bunuh atau jika dengan niat sebagai kes bunuh yang membawa kepada hukuman gantung sampai mati,” katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan bantuan Perbendaharaan bernilai kira-kira RM2.7 juta kepada 59 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di kementeriannya, di sini, semalam.

Menurut Shahrizat, sebelum ini, kes pembuangan bayi disiasat mengikut Seksyen 31 Akta Kanak-Kanak 2001 yang boleh dikenakan denda maksimum RM20,000 atau 10 tahun penjara atau kedua-duanya sekali jika disabit kesalahan.

“Kini, kes pembuangan bayi disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan atau mengikut Seksyen 304 Kanun Keseksaan kerana kesalahan cubaan membunuh tanpa niat atau Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana kesalahan cubaan membunuh,” katanya.

Shahrizat berkata, sebanyak 241 kes pembuangan bayi dilaporkan sejak 2008 termasuk 60 kes sama direkodkan sejak awal tahun ini hingga semalam.

“Pelbagai langkah dilakukan dalam usaha bagi menangani kes pembuangan bayi sebelum ini menerusi pendekatan kebajikan termasuk mengadakan kempen dan program di peringkat sekolah dan sebagainya.

“Namun, pendekatan dibuat itu nampaknya tidak diambil berat segelintir pihak menyebabkan isu sama berlaku,” katanya.
Katanya, PDRM juga diminta menggunakan kaedah asid deoksiribonukleik (DNA) bagi mengenal pasti ibu bapa bayi berkenaan.

“Langkah itu wajar untuk membawa pesalah dan pasangannya untuk dihadapkan ke mahkamah serta tidak terlepas daripada hukuman yang sepatutnya,” katanya.

Menurutnya, pasangan yang terlanjur kemudian hamil dan terdesak untuk bantuan dinasihat supaya mendapatkan dengan pergi ke pejabat Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), hospital, polis dan NGO.
“Kita mahu mereka pergi mendapatkan bantuan daripada saluran betul bagi mengelak mereka terjerumus lebih teruk dengan membuang bayi.

“Pelbagai program dan bantuan disediakan bagi membantu mereka daripada melakukan kesalahan berkenaan,” katanya.
Amaran juga turut diberikan kepada lelaki yang bertanggungjawab menyebabkan wanita hamil luar nikah bahawa mereka tidak akan terlepas daripada tindakan undang-undang.

No comments:

Post a Comment