Search This Blog

Monday, August 30, 2010

CEO kolej swasta saman Celcom RM20j



KOTA BHARU 29 Ogos - Seorang Ketua Pegawai Eksekutif hari ini memfailkan saman RM20 juta terhadap Celcom Axiata Berhad kerana mendedahkan kandungan khidmat pesanan ringkas (SMS) dan rakaman perbualan telefon beliau dengan individu lain.
CEO sebuah kolej swasta, Noor Haslina Abdullah, 39, diwakili peguam dari firma Tetuan Rafizi Zubairi & Co memfailkan saman itu di Mahkamah Tinggi di sini, kira-kira pukul 2 petang ini.
Dalam pernyataan tuntutannya, Noor Haslina menuntut RM10 juta bagi pendedahan SMS dan RM10 juta lagi bagi pendedahan perbualannya.
Ia merangkumi ganti rugi teladan, masing-masing RM8 juta dan ganti rugi mengalami trauma dan tekanan mental sebanyak RM2 juta.
Plaintif mendakwa kecuaian defendan menyebabkan beliau menghadapi fitnah yang teruk oleh masyarakat.
Beliau juga mendakwa terpaksa meminta rakan-rakan untuk menemaninya ke mana-mana kerana takut selain fobia dan ketakutan melampau untuk menggunakan talian telefon kerana bimbang maklumat peribadi dan rahsia akan dikeluarkan.
Selain itu, plaintif turut menuntut ganti rugi am, faedah ke atas jumlah penghakiman pada kadar lapan peratus setahun dari tarikh 30 Mei lalu sehingga penyelesaian selesai, kos dan apa-apa relief yang dianggap sesuai oleh mahkamah.
Plaintif dalam pernyataan itu menyebut, sewaktu tiba di pejabatnya pada 11 Mac lalu, beliau telah menerima satu sampul surat yang mana kandungannya telah dibuka oleh pekerjanya sebagaimana rutin kerja.
Beliau mendapati di dalam sampul surat tersebut terdapat sembilan helai surat bersaiz A4 dipercayai dokumen Celcom dan 'pendrive' berjenama Kingston Data Traveller 4GB berwarna biru.
Plaintif mendapati keseluruhan kandungan dalam kesemua sembilan helai dokumen tersebut mengandungi maklumat SMS yang dihantar dan diterima daripada telefon bimbitnya yang berdaftar dengan syarikat defendan atas kontrak "family package".
Selain itu, plaintif juga telah membuka data yang terkandung dalam 'pendrive' terbabit dan mendapati terdapat rakaman percakapan telefon antara plaintif melalui nombor telefon terbabit.
Berikutan itu plaintif telah membuat satu laporan polis terhadap defendan pada 14 Mac lalu yang mana akibat daripada pendedahan itu beliau telah mengalami trauma, ketakutan, malu, kehilangan reputasi dan dipandang serong oleh masyarakat dan keluarga.
Beliau berkata, defendan melakukan satu kesalahan pecah kontrak terhadap dirinya kerana mengeluarkan maklumat sulit dan persendirian miliknya kepada orang lain tanpa mendapat persetujuan dan kebenaran serta juga melakukan pencerobohan ke atas hak peribadi dan persendirian plaintif itu.
Defendan, menurutnya, telah gagal untuk menjelaskan tuntutan plaintif melalui notis tuntutan bertulis bertarikh 30 Mei lalu.

No comments:

Post a Comment