Search This Blog

Tuesday, August 31, 2010

Cemburu bongkar kegiatan Black Money

2010/08/31


KAJANG: Pergaduhan dua pelajar warga Nigeria kerana cemburu selepas rakan wanita mereka bercinta dengan seorang daripada mereka membawa kepada pembongkaran kegiatan Black Money yang dijalankan mereka di sebuah rumah di Bandar Sungai Long, di sini, Khamis lalu.
Kejadian kira-kira jam 10 malam itu bermula apabila pelajar lelaki terbabit bergaduh hingga memaksa rakan wanita mereka menghubungi polis.


Ketua Polis Kajang, Asisten Komisioner Mohd Sakaruddin Che Mood, berkata polis yang tiba di rumah terbabit melakukan pemeriksaan sebelum menemui sebuah bilik yang dipenuhi peralatan memproses wang palsu iaitu alat pengimbas, mesin pencetak, dan cecair pencuci. “Polis turut menemui 100,000 not dolar Amerika palsu bernilai RM1 juta di dalam dua beg dalam bilik itu. Ketiga-tiga mereka pelajar sebuah kolej swasta di negeri ini dan aktif menjalankan kegiatan terbabit lebih dua bulan lalu,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang, di sini, semalam. Beliau berkata, suspek turut memperdayakan pelanggan mereka untuk membeli satu botol cecair pencuci yang dijual dengan harga ribuan ringgit kononnya boleh mencuci tanda atas wang terbabit supaya kelihatan seperti wang tulen.


“Hasil soal siasat ke atas suspek, mereka mendakwa memperdayakan pelanggan dengan cara membungkus not kepingan wang itu dengan meletakkan imej di depan dan belakang, tetapi ditengah-tengah wang itu diletakkan kertas kosong. Menurutnya, penahanan semua suspek yang berusia 20-an itu yang pertama di daerah ini membabitkan pemprosesan wang palsu. Ketiga-tiga mereka akan disiasat mengikut Seksyen 49(c) Kanun Keseksaan dan direman sehingga esok (hari ini) untuk siasatan lanjut.

No comments:

Post a Comment