Search This Blog

Monday, August 2, 2010

Buru dua warga Myanmar




SERI MANJUNG – Polis Daerah Manjung meneruskan usaha mengesan dua pekerja asing yang dipercayai mempunyai kaitan pembunuhan Ahli Majlis Majlis Perbandaran Manjung (MPM), Lim Ting Peng, 49, awal pagi kelmarin. 

Ketua Polis Daerah Manjung Asisten Komisioner Mohd Jamil Osman berkata, ini berikutan polis menemui telefon bimbit dipercayai milik seorang pekerja warganegara Myanmar itu di ladang ayam milik mangsa. 

Katanya, hasil daripada pemeriksaan pada telefon bimbit itu, polis mengesan beberapa panggilan dibuat daripada Pantai Remis pada malam kejadian. 

Menurut beliau, polis turut menjumpai sebatang kayu penukul mempunyai kesan darah yang dipercayai dijadikan senjata untuk memukul mangsa. 

“Ini adalah berdasarkan hasil bedah siasat yang dijalankan di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh terhadap mayat mangsa, punca kematian disebabkan kecederaan parah di bahagian belakang kepala mangsa dipercayai dipukul menggunakan benda tumpul. 

“Pihak kami juga masih menjalankan siasatan berkenaan motif pembunuhan Ahli Majlis MPM kerana hasil siasatan pihak kami mendapati mangsa tidak mempunyai hutang dan masalah terhadap sesiapa pun,” katanya. 

Beliau berkata demikian ketika dihubungi Sinar Harian di sini, semalam. 

Mayat mangsa ditemui dalam sebuah perigi tidak jauh dari ladang ternakan ayamnya di Changkat Keruing, Ayer Tawar dekat sini, oleh ahli keluarganya yang turut mencari selepas mangsa tidak pulang ke rumah seperti kebiasaan. 

Dalam perkembangan sama, kata Mohd Jamil, pihaknya telah menjumpai kereta milik mangsa di Sungai Batu, Pantai Remis kira-kira 9 pagi semalam. 

Kata beliau, anggotanya yang sedang menjalankan rondaan di kawasan itu menjumpai kereta mangsa dalam semak dekat Sungai Batu, di sini.

No comments:

Post a Comment