Search This Blog

Thursday, August 12, 2010

Bung Moktar terlepas hukuman penjara








SHAH ALAM 11 Ogos - Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Bung Moktar Radin terlepas daripada hukuman penjara selama sebulan bagi kesalahan berpoligami tanpa kebenaran selepas rayuannya untuk mengetepikan hukuman itu diterima oleh Mahkamah Tinggi Syariah di sini hari ini.
Ketua Hakim Syarie Selangor, Mukhyuddin Ibrahim bagaimanapun menggantikan hukuman tersebut dengan denda RM1,000 atau penjara enam bulan jika denda berkenaan gagal dijelaskan.
Mukhyuddin yang membacakan penghakimannya selama satu setengah jam berkata, beliau membuat keputusan itu selepas menerima lima daripada 13 alasan rayuan yang dikemukakan oleh Bung Moktar selaku perayu bagi mengetepikan hukuman penjara.
Beliau berpendapat, hakim Mahkamah Rendah Syariah yang memerintahkan hukuman tersebut telah gagal memberikan alasan yang munasabah serta tidak mengambil kira bahawa kesalahan berpoligami tanpa kebenaran itu adalah kesalahan pertama perayu.
Katanya, keputusan itu juga dibuat dengan hanya mengambil kira kedudukan perayu sebagai ahli Parlimen bagi menjaga kredibiliti Mahkamah Syariah di mata umum tanpa mengambil kira kesan sabitan terhadap kerjaya dan kewangan serta persepsi masyarakat terhadap Bung Moktar.
Jelas beliau, tindakan mengikat Bung Moktar secara langsung dengan enakmen yang digubal di peringkat negeri juga tidak adil walaupun perayu terlibat dalam pembentukan undang-undang di Parlimen.
‘‘Dalam membuat keputusan, mahkamah perlu memberi pertimbangan terhadap kesan dan akibat yang akan ditanggung agar jangan sampai perayu berada dalam keadaan yang lebih teruk berbanding sebelum dia mengaku bersalah.
‘‘Jika perayu dipenjarakan, ia akan mendatangkan kemudaratan kepada diri, kerjaya dan reputasinya. Perayu mempunyai tanggungjawab terhadap isteri-isteri dan anak-anaknya. Secara tidak langsung ia boleh menimbulkan masalah sosial jika perayu dipenjarakan.
‘‘Oleh kerana mahkamah menerima sebahagian daripada petisyen (alasan rayuan) itu, mahkamah berpendapat, hukuman yang dijatuhkan hakim terdahulu perlu dipinda. Hukuman yang sesuai dan adil adalah denda maksimum tanpa hukuman penjara,’’ katanya.
Mukhyuddin bagaimanapun mengakui bahawa denda RM1,000 bagi kesalahan berpoligami tanpa izin mahkamah adalah rendah jika dibandingkan dengan kedudukan Bung Moktar selaku individu yang berpendidikan serta mempunyai kerjaya dan kedudukan dalam masyarakat.
‘‘Memandangkan kesalahan perayu melibatkan prosedur poligami dan tidak melibatkan masyarakat, maka wajar ia diberi lebih pertimbangan. Bagaimanapun, bukan sampai membuka peluang untuk orang lain mengambil kesempatan terhadap pertimbangan ini,’’ katanya lagi.
Pada prosiding rayuan ini, Bung Moktar diwakili peguam syarie Amli Embong manakala responden diwakili pegawai pendakwa dari Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Zusyarafain Md. Yusof.
Bung Moktar, 51, mengemukakan rayuan setelah tidak berpuas hati dengan hukuman penjara sebulan yang dijatuhkan oleh Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur pada 19 Mei lalu bagi kesalahan berkahwin dengan pelakon Zizie Izette secara poligami tanpa izin mahkamah.
Bung Moktar turut didenda RM1,000 atau penjara sebulan kerana bersubahat dengan Zizie atau nama penuhnya Zizie Izette A. Samad, 32, untuk bernikah tanpa kebenaran pendaftar nikah, cerai dan rujuk.
Zizie pula didenda RM2,000 atau penjara tujuh bulan atas dua tuduhan bernikah tanpa kebenaran pendaftar dan bersubahat dengan suaminya itu berpoligami tanpa kebenaran mahkamah.
Pasangan itu bernikah di sebuah rumah beralamat No. 12, Jalan TC 2B/3, Cemerlang Heights, Taman Melati, Gombak pada pukul 8.50 malam, 16 Disember lalu.
Namun begitu, Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Lumpur pada 12 Jun lalu memutuskan pernikahan pasangan itu yang berlangsung pada 9 Jun lepas di rumah Zizie di No. 6, Jalan Setiawangsa 6, Taman Setiawangsa di ibu negara adalah sah dan memerintahkan ia didaftarkan.
Sebaik sahaja mahkamah bersurai, Bung Mokhtar dan Zizie Izette dilihat berpelukan serta memeluk saudara mara yang turut hadir sambil menangis kegembiraan.
Ketika ditemui di luar mahkamah, Bung Moktar melahirkan rasa syukur kepada Allah kerana semuanya berakhir dengan baik selepas melalui proses mahkamah yang panjang.
‘‘Akhirnya ketentuan ditentukan hari ini dan saya berharap ia tamat di sini. Terima kasih kepada peguam saya, pihak-pihak yang terlibat secara langsung dan tidak langsung, keluarga, sahabat handai yang memberi sokongan tidak berbelah bagi dari awal sehingga sekarang.
‘‘Saya percaya, perkara yang baik tetap akan berakhir dengan baik dan ketentuan Allah telah memberikan yang terbaik pada hari ini sebagai hadiah berpuasa pada tahun ini,’’ katanya.
Sementara itu, Zizie Izette turut bersyukur kerana kes tersebut telah selesai serta melahirkan hasrat untuk menjalani kehidupan sebagai suami isteri dengan tenang selain berterima kasih kepada semua pihak termasuk media.

No comments:

Post a Comment