Search This Blog

Thursday, August 12, 2010

Buang ikut tingkap tandas

MELAKA: “Saya ingatkan bunyi nada dering telefon bimbit kerana hanya dengar sekali saja bunyi tangisan bayi itu,” kata pengawal keselamatan kilang, Mohd Asri Shaari, 43, dari Cheng, dekat sini, yang menemui seorang bayi perempuan di dalam tong sampah di Ayer Keroh, awal pagi semalam.
Menurutnya, seorang rakan sekerjanya mengesyaki sesuatu yang buruk mengenai tangisan bayi itu selepas dia melihat tangan orang menghulurkan sesuatu dari tingkap tandas di belakang pos pengawal dan menyuruhnya melakukan pemeriksaan.
Mohd Asri berkata, pada mulanya dia bersama dua rakannya yang hanya dikenali sebagai Nurismawati dan Faris berehat di luar pos kawalan di hadapan kilang dia bekerja.

Katanya, ketika itu mereka baru selesai bersahur sebelum terdengar tangisan bayi dari arah tandas berkenaan dan keadaan ketika itu agak sunyi kira-kira jam 5.15 pagi.

“Saya tidak syak apa-apa, tetapi Nurismawati berasa pelik dan menyuruh saya memeriksa perkara itu. Saya kemudian hendak masuk ke tandas tetapi mereka beritahu ada orang, lalu saya terus masuk semula ke pos pengawal.

“Ketika itu juga seorang pekerja lelaki meminta kebenaran keluar sekejap mengambil bekalan makanan di dalam raga motosikal di luar dan saya benarkan.

“Pada masa sama, Nurismawati nampak ada orang hulur barang dari tingkap tandas kepada seorang lelaki yang memasukkannya ke dalam tong sampah. Kemudian seorang perempuan keluar dari tandas dan terus masuk ke dalam kilang begitu juga pekerja lelaki berkenaan,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian.

Menurutnya, dia terus membuka tong sampah itu dan melihat ada beg kain warna hitam di dalamnya.

“Saya angkat beg itu yang berat dan bergerak-gerak menyebabkan hati cemas. Apabila beg dibuka saya lihat ada bayi di dalamnya yang masih bertali pusat serta kesejukan selain terdapat tuala kecil di lehernya. Saya segera mengangkat bayi itu sebelum Wati membalutnya dengan baju dan saya terus menghubungi polis,” katanya.

Katanya, sebelum polis tiba, muncul seorang wanita bersama teman lelakinya yang meminta kebenaran untuk balik, namun saya menghalangnya kerana mengesyaki bayi itu anaknya.

“Wanita itu beri alasan bapanya kemalangan dan hendak balik segera, namun saya halang. Saya tanya mengenai bayi itu, namun mereka menafikannya berkali-kali sebelum perempuan itu mengaku bayi itu anaknya. Mereka ditahan anggota polis yang tiba selepas itu,” katanya.

No comments:

Post a Comment