Search This Blog

Monday, August 30, 2010

Bom bersuis limau bali

KUALA LUMPUR: Seorang wanita maut manakala rakannya melecur hampir 90 peratus selepas satu bom buatan manusia meletup sebaik mereka cuba mengalihkan dua limau bali yang dijadikan ‘suis’ kepada bom berkenaan yang diletakkan di atas kotak di depan rumah majikan mereka, pagi semalam.


MELECUR...Koh yang melecur 90 peratus.
MELECUR...Koh yang melecur 90 peratus.




PERIKSA...sekumpulan anggota forensik memeriksa kesan letupan.



PERIKSA...sekumpulan anggota forensik memeriksa kesan letupan.
Wanita dikenali Ng Siew Hong, 51, meninggal dunia ketika dirawat di Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) kira-kira jam 5.30 petang manakala rakannya, Koh Yong Sheng, 38, yang melecur dipindahkan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Ketika kejadian kira-kira jam 8.30 pagi itu, Ng yang tinggal bersama majikannya, H K Lim, 51, menerima satu kotak yang di atasnya terdapat dua limau bali yang diletakkan di depan pintu rumah majikannya di tingkat 12, Pangsapuri Desa Tun Razak.

Ng yang kebetulan membuka pintu sebaik terdengar bunyi pintu diketuk mendapati ada dua limau bali dan kotak ditinggalkan di depan pintu.

Dia memaklumkannya kepada Lim yang kemudian bertanya jiran sama ada menghantar buah dan kotak berkenaan untuknya. Bagaimanapun, jiran mereka menafikan menghantar buah dan kotak itu.

Berikutan itu, Lim mengarahkan Ng memanggil Koh yang berada di tingkat bawah untuk naik dan membuka kotak berkenaan bagi mengetahui isi kandungannya.
Menurut sumber, dua limau bali yang diletakkan atas kotak itu dipercayai berfungsi sebagai ‘suis’ kepada bom berkenaan diperbuat daripada beberapa mercun bola sebelum direndam bersama minyak tanah.

Katanya, letupan itu dipercayai tercetus apabila seorang daripada mangsa cuba mengalihkan buah limau berkenaan bagi melihat isi kandungan kotak itu.
“Walaupun bom itu dipercayai berasaskan minyak tanah dan mercun bola, letusan akibat letupan itu dianggarkan berlaku pada jarak enam meter dari rumah majikan mangsa. Letupan itu menyebabkan lima rumah lain dalam deretan sama rosak.

“Malah, letupan itu menyebabkan tercetusnya api besar yang menyambar pakaian serta tubuh kedua-dua mangsa sehinggakan mereka hampir 90 peratus terbakar,” katanya.

Timbalan Ketua Polis Cheras, Superintendan Abdul Rahim Hamzah Othman berkata, majikan mangsa, Lim cuba membantu memadamkan api berkenaan, namun gagal. Jiran yang terkejut dengan letupan berkenaan bergegas keluar membantu.

Menurutnya, beberapa penduduk menghubungi pihak berkuasa melaporkan kejadian berkenaan.

“Polis tiba di lokasi kejadian 10 minit berselang sebelum kedua mangsa dibawa ke PPUKM untuk rawatan susulan. Berdasarkan siasatan awal, polis menemui mercun bola dan minyak tanah dipercayai dijadikan bahan asas kepada bom berkenaan. Hanya mereka terlatih mampu menghasilkan bom seumpama ini.

“Siasatan awal juga mendapati terdapat unsur khianat dalam insiden ini,” katanya.

No comments:

Post a Comment