Search This Blog

Friday, August 13, 2010

Berbuka dalam lokap

JOHOR BAHRU: 17 pelajar sebuah sekolah di Taman Desa Jaya di sini, berbuka puasa dalam lokap apabila mereka ditahan bagi membantu siasatan selepas terbabit dalam satu pergaduhan, kelmarin.
Difahamkan, dalam kejadian jam 2 petang itu, pergaduhan berpunca daripada ejek-mengejek yang membabitkan dua pelajar sebelum bertukar perang mulut ketika mereka makan di kantin sekolah.
Bagaimanapun, ia terus melarat hingga membabitkan pelajar lain dan memburukkan keadaan salah faham itu mengheret kumpulan pelajar terbabit dalam pergaduhan.

Selepas tamat sesi persekolahan, kumpulan pelajar berusia 14 hingga 17 tahun itu kembali bertemu di luar kawasan sekolah kononnya ingin menyelesaikan sengketa terbabit sebelum berlaku pergaduhan itu.

Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintendan Roslan Zainuddin, ketika dihubungi mengesahkan kejadian dan penahanan remaja itu bagi membantu siasatan.

“Polis sedang menyiasat bagaimana kejadian itu boleh berlaku. Walaupun membabitkan jumlah pelajar agak ramai, tetapi hanya beberapa pelajar saja yang mengalami luka ringan.

“Polis juga akan bekerjasama dengan pengurusan sekolah bagi mencari penyelesaian mengatasi masalah terbabit,” katanya.

Menurut Roslan, semua pelajar terbabit direman hingga Sabtu ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan, kerana memiliki senjata dalam rusuhan dan jika sabit kesalahan boleh dipenjara hingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Diminta mengulas kejadian itu, Pengarah Pelajaran Negeri, Sufa’at Tumin berkata, pihaknya akan bekerjasama dengan polis dalam hal berkenaan.

“Biasanya, jika perkara itu tidak serius kami akan memanggil ibu bapa pelajar terbabit untuk sesi kaunseling dan perbincangan sebelum diajak berdamai.

“Bagaimanapun, jika ia serius kami akan mengambil tindakan seperti memberi amaran, gantung sekolah atau paling teruk dibuang terus. Bagaimanapun, perkara itu hanya akan diputuskan lembaga disiplin sekolah sendiri,” katanya.

No comments:

Post a Comment