Search This Blog

Friday, August 13, 2010

Belukar Bukit kotor



Oleh Baharom Bakar 

2010/08/11

KUALA BERANG: Selepas dikejutkan dengan penutupan kawasan rekreasi Bukit Yu, Kuantan dan kawasan rekreasi Titi Hayun, Kedah disebabkan pencemaran virus Leptospirosis atau kencing tikus, destinasi perkelahan di Belukar Bukit, di sini, juga berdepan kemungkinan ditutup jika dicemari virus itu.

Ini berikutan kawasan perkelahan itu dipenuhi sisa makanan dan sampah-sarap termasuk lampin pakai buang kerana kealpaan pengunjung, selain tiada kemudahan tong sampah disediakan Majlis Daerah Hulu Terengganu (MDHT).
Keindahan kawasan perkelahan Belukar Bukit sememangnya tidak diperkecilkan oleh pengunjung, terutama air yang cetek dan sejuk menyebabkan ibu bapa tidak perlu bimbang membiarkan anak mereka untuk mandi manda.
Bagaimanapun, kawasan perkelahan yang menjadi kunjungan utama pelawat tempatan dan dari luar Terengganu dibimbangi akan ditutup berikutan pencemaran virus kencing tikus kerana keadaan persekitaran termasuk tebing sungai dipenuhi sampah-sarap yang akan menggalakkan pembiakan tikus.

Tinjauan Edisi Timur Berita Harian mendapati selain sampah-sarap, sisa makanan juga dibiarkan bertaburan di tebing sungai yang dijadikan kawasan berehat, terutama di belakang Pusat Latihan Yayasan Pelajaran Mara, yang terletak kira-kira dua kilometer daripada jalan utama Kampung Belukar Bukit.

Sampah-sarap dan sisa makanan yang ditinggalkan di tebing sungai oleh pengunjung bukan saja berbau busuk, malah boleh menyebabkan pembiakan tikus kerana haiwan itu sentiasa berkeliaran mencari makan terutama sisa makanan.

Pegawai Kesihatan Daerah Hulu Terengganu, Dr Liza Abdul Latif ketika dihubungi berkata, walaupun kawasan perkelahan itu kotor dan membimbangkan pengunjung, tetapi kes pencemaran virus kencing tikus mungkin sukar merebak kerana air tidak bertakung.
Bagaimanapun, katanya, pegawai dan kakitangan kesihatan akan dihantar ke kawasan perkelahan itu bagi membuat pemeriksaan termasuk mengambil contoh air sungai untuk dianalisis.

Kita akan melakukan pemantauan dan jika didapati kawasan itu kotor serta dipenuhi sampah-sarap, kita akan maklumkan kepada MDHT untuk tindakan lanjut termasuk meminta kerjasama agar melakukan kerja pembersihan di kawasan itu, katanya.

Ketika mengulas mengenai penularan virus kencing tikus, Dr Liza berkata, virus berkenaan sukar menular kerana air di kawasan perkelahan Belukar Bukit sentiasa mengalir, tetapi pihaknya tidak berserah saja kepada keadaan sebaliknya sentiasa membuat pemeriksaan termasuk mengambil contoh air.

Setakat ini kita sahkan kawasan perkelahan itu masih selamat, tetapi kita minta kerjasama pengunjung supaya sama-sama menjaga kebersihan dan tidak meninggalkan sampah-sarap serta sisa makanan di kawasan berkenaan.

Seperti diumumkan Kementerian Kesihatan, kawasan kotor bukan saja boleh menyebabkan berlaku penularan virus kencing tikus, malah penyakit lain termasuk demam denggi pun berkemungkinan boleh berlaku, katanya.

No comments:

Post a Comment