Search This Blog

Thursday, August 12, 2010

Bayi perempuan dalam tong sampah





MELAKA 11 Ogos - Pada saat-saat umat Islam baru memulakan hari pertama Ramadan, seorang lagi bayi yang masih bertali pusat ditemui dibuang di dalam tong sampah di sebuah kilang di Ayer Keroh hari ini.
Bagaimanapun mujurlah perbuatan kejam itu dilihat oleh pekerja di kilang tersebut mengakibatkan seorang remaja lelaki dan wanita ditahan polis.
Ketua Bahagian Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Mohd. Adnan Abdullah berkata, pasangan remaja tersebut ditahan kerana disyaki terlibat dengan pembuangan bayi itu.
Katanya, kedua-dua mereka berusia 18 tahun dan berasal dari Gemas, Negeri Sembilan merupakan pasangan kekasih yang baru bekerja di kilang berkenaan sejak sebulan lalu.
"Kedua-dua suspek telah direman bermula hari ini sehingga Sabtu ini.
"Kes itu disiasat di bawah Seksyen 317 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Beliau menambah, bayi tersebut telah dihantar ke Hospital Melaka untuk pemeriksaan lanjut.
Sementara itu, seorang pengawal keselamatan di kilang tersebut, Mohd. Asri Shaari, 44, berkata, kejadian berlaku pada pukul 5.15 pagi ketika dia baru lepas bersahur.
Katanya, dia yang ke tandas di belakang pondok pengawal terdengar bunyi tangisan bayi dari arah dalam tandas.
"Saya terdengar bunyi tangisan itu dari arah dalam tandas tetapi menyangka ia bunyi nada dering telefon bimbit.
"Selang beberapa minit, seorang remaja lelaki yang juga pekerja kilang terbabit menuju ke arah luar pagar kilang.
"Dia memberitahu ingin mengambil makanan sahur di dalam motosikal. Tiba-tiba dua pekerja wanita memanggil saya dan memberitahu terlihat ada seseorang menghulur bungkusan dari tingkap tandas ke arah tong sampah di luar pagar," katanya.
Mohd. Asri berkata, dia hampir menitiskan air mata apabila menemui seorang bayi di dalam sebuah beg dalam tong sampah itu.
Tambahnya, dia kemudian memanggil remaja lelaki itu yang mengaku telah bertunang tetapi tidak tahu menahu tentang pembuangan bayi tersebut.
Mohd. Asri berkata, dia kemudian menghubungi polis untuk memaklumkan kejadian berkenaan.

No comments:

Post a Comment