Search This Blog

Tuesday, August 10, 2010

Bayi berkafan di tapak pelupusan



BERCHAM – Seorang mayat bayi lelaki cukup sifat ditemui dalam keadaan mayatnya ‘dikafankan’ dalam longgokan sampah di Tapak Pelupusan Sampah Jalan Bercham–Tanjung Rambutan di sini, semalam. 

Mayat bayi lelaki malang itu ditemui berbalut dengan kain lampin putih, kemudian dibalut pula dengan tudung dan kain batik, dibungkus dengan plastik serta dibuang ke dalam tong sampah sebelum dibawa ke tapak berkenaan. 

Mayat bayi itu ditemui oleh pemungut barangan lusuh di sini kira-kira pada jam 1.50 petang. 

Ahmad Sufian Zulkifli, 30, berkata, dia terkejut dengan penemuan itu dan berasa sedih kerana ada manusia sanggup buang bayi berkenaan dalam keadaan demikian. 

“Apabila lori sampah tiba, biasanya kami akan memunggah sampah untuk mencari barang terpakai dan ketika pegang beg plastik berkenaan ia berasa lembik. 

"Saya tergerak untuk memeriksa kerana berasa curiga dengan isi kandungannya. Saya melihat ada kain batik berwarna merah. 

"Saya panggil rakan-rakan untuk membukanya kerana saya tidak sanggup melihat rupa bayi berkenaan,” katanya kepada Sinar Harian. 

Sementara itu, Rohimah Asidah Bani Amin, 25, berkata, ini merupakan kejadian kedua berlaku di kawasan itu. 

“Saya nekad buka ikatan balutan dan melihat wajah bayi yang kebiruan, mata tersembul dan hidungnya disumbat dengan kapas. 

"Mayat bayi itu tidak busuk sebaliknya berbau seperti kapur barus. Kemudian, saya segera menghubungi polis,” katanya. 

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Perak, Datuk Zakaria Yusof mengesahkan penemuan mayat bayi yang dipercayai berjantina lelaki itu. 

“Mayat bayi yang hampir busuk itu dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) bagi mengenal pasti punca kematian dan kes ini disiasat mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan iaitu menyembunyikan kematian. 

“Polis sedang berusaha mengesan ibu bayi berkenaan dan mengharap bantuan orang ramai untuk menyalurkan maklumat di talian 05-2451222 bagi membantu siasatan,” kata Zakaria.

No comments:

Post a Comment