Search This Blog

Thursday, August 26, 2010

Bapa lega hukuman mati anak tangguh

SINGAPURA: “Saya lega, tetapi dalam masa sama tetap bimbang dengan nasib anak,” kata Yong Kwong Keong, 57, bapa kepada Vui Kong, 22, rakyat Malaysia yang sepatutnya dijatuhkan hukuman gantung sampai mati di Republik Singapura, hari ini.
Hukuman terhadap Vui Kong dilanjutkan ke satu tarikh lain dan tempoh berkenaan dipercayai sebulan.
Yong, berasal dari Sabah dan bekerja sebagai pemandu dimaklumkan berkaitan penangguhan pelaksanaan hukuman gantung itu oleh peguam anaknya jam 3 petang semalam.

“Kami sudah berusaha pelbagai cara selain menghantar petisyen kepada kerajaan negara berkenaan demi Vui Kong. Apa yang mampu kami buat ketika ini ialah berdoa.

“Bagaimanapun, saya lega dengan perlanjutan tempoh hukuman kerana ia bermakna ada lebih masa untuk terus berusaha selain memberi sedikit sinar kepada anak,” katanya.

Sebelum ini, Yong merayu kepada Presiden Singapura, SR Nathan supaya memberikan peluang kedua untuk hidup kepada anaknya.

Semalam, dia bersama ahli keluarga yang lain memakai baju-T tertulis ‘Give Life A Second Chance’ di Penjara Changi, Singapura.

Kelmarin pula, Yong dibenarkan bertemu dengan Vui Kong selama sejam. Pertemuan terbabit turut disertai tiga lagi anak Yong iaitu Nyuk Yin, 33, Nyuk Chu, 29, Vui Fung, 20, dan bapa saudara, Kwong Chun, 58.

Mereka menitiskan air mata selepas bergilir-gilir melawat Vui Kong dan Yong pula kelihatan letih selepas menunggu seharian di luar istana dengan harapan untuk bertemu Nathan.

Bagaimanapun, permintaannya untuk bertemu Nathan tidak kesampaian walaupun dia serta ahli keluarga dapat menyerahkan petisyen yang ditandatangani 111,331 orang ketika kempen ‘Save Vui Kong’ sehingga jam 5 petang, kelmarin.

Sebanyak 33,501 tandatangan diperoleh menerusi internet, 43,466 dari Sabah, 33,644 dari Semenanjung dan 312 orang awam.
“Dalam pertemuan di dalam penjara, Vui Kong kelihatan tenang. Dia juga maklumkan kepada saya bahawa dia sudah memeluk agama Buddha di dalam penjara dan banyak menghabiskan masa membaca kitab agama berkenaan.

“Saya dapat lihat banyak perubahan pada dirinya dan Vui Kong tidak henti memaklumkan kepada saya bahawa nasibnya itu berpunca daripada penganiayaan. Dia juga mengatakan amat menyesal dan pengalamannya itu patut dijadikan pengajaran kepada orang lain,” katanya.

Yong turut merayu kepada Nathan supaya Vui Kong diberikan pengampunan serta peluang kedua.

Abang Vui Kong, Yun Leong, 25, yang bekerja sebagai chef di republik itu berdoa supaya hukuman gantung ke atas adiknya dikurangkan kepada hukuman penjara seumur hidup.
“Saya percaya peluang kedua patut diberikan kepada mereka yang berhak. Saya lihat banyak perubahan dalam diri adik saya,” katanya.

No comments:

Post a Comment