Search This Blog

Sunday, August 8, 2010

Bapa dera anak direman


HAH ALAM – Seorang pemandu lori yang ditahan di Hospital Serdang pada Khamis lalu, selepas dipercayai mendera anak lelakinya, Kevin Joe, 11, sehingga mati, direman selama seminggu bagi membantu siasatan.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Zainal Rashid Abu Bakar berkata, bapa kanak-kanak itu berusia 35 tahun direman bermula semalam sehingga Jumaat depan untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Menurutnya, suspek ditahan selepas bedah siasat yang dijalankan ke atas mangsa menunjukkan terdapat kesan kecederaan teruk di bahagian badan terutamanya di kepala, dipercayai akibat didera dengan objek tumpul sejak sebulan lalu.

“Kesan luka itu adalah kesan luka lama dan polis percaya mangsa mungkin didera dengan menggunakan rotan atau kayu.

“Setakat ini, siasatan polis masih belum menemui sebarang peralatan yang mungkin digunakan suspek untuk mendera mangsa,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian, semalam.

Beliau berkata, susulan tangkapan itu, pemeriksaan perubatan turut dijalankan terhadap enam lagi anak suspek berusia antara lima hingga 13 tahun, bagi memastikan sama ada mereka turut menjadi mangsa dera bapa kandung sendiri.

“Bagaimanapun pihak hospital mengesahkan tiada sebarang kesan kecederaan ditemui pada badan keenam-enam anak suspek terbabit,” katanya.

Zainal Rashid berkata, polis juga sudah merekodkan percakapan isteri suspek berusia 30-an bagi membantu siasatan, selain memastikan sama ada dia turut terlibat mendera anaknya sehingga mati.

Menurutnya, setakat ini, polis masih belum dapat mengenal pasti motif sebenar suspek mendera anaknya. Namun maklumat awal, menunjukkan suspek tidak mempunyai masalah mental atau panas baran tetapi bertindak demikian kerana marah terhadap anaknya.

Dalam kejadian Khamis lalu, mangsa yang didakwa pengsan selepas terjatuh di rumahnya di Taman Puchong Utama, dihantar suspek ke Hospital Serdang kira-kira jam 11.30 malam sebelum dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU).

Mangsa bagaimanapun disahkan mati tidak lama kemudian. Pihak hospital difahamkan membuat laporan polis selepas bedah siasat mangsa menunjukkan kecederaan teruk pada bahagian dalaman selain beberapa kesan dipukul di kepala dan belakang badan dipercayai didera.

No comments:

Post a Comment