Search This Blog

Thursday, August 12, 2010

Baju Apai terbakar'

KUALA LUMPUR: Seorang guru memberitahu Mahkamah Sesyen semalam, dia ada melihat baju Raja Mohamad Faizal Raja Ibrahim (Apai), 25, terbakar ketika membakar kayu untuk barbeku (BBQ) di rumahnya.
Mohd Hamzan Zainal Abidin, 24, berkata kejadian itu berlaku selepas dia memarahi Apai, adiknya, Raja Mohd Idzham, 23, (Dek Am), kerana lewat dua jam untuk mengadakan jamuan BBQ itu yang sepatutnya diadakan jam 10 malam. Menurutnya, dia masuk ke dalam rumah untuk mengambil satu bekas ayam dan sotong untuk dibakar.

“Bagaimanapun ketika keluar rumah, saya terdengar pekikan meminta tolong dari luar rumah menyebabkan bekas ayam serta sotong dibawa itu terjatuh kerana saya terkejut.

“Saya melihat keadaan di luar menjadi kelam-kabut dan ketika itu saya nampak baju Apai terbakar manakala tangan Dek Am pula cedera kerana cuba membantu abangnya.

“Bagaimanapun, saya tidak melihat api yang menyambar Apai kerana berada di dalam rumah,” katanya ketika menjawab pemeriksaan balas daripada Timbalan Pendakwa Raya, Azlina Rasdi.

Dia kemudian meminta Apai ke Klinik Izham bersama seorang rakan yang dikenali dengan nama Joe bagi mendapatkan rawatan lanjut.
Hamzan berkata demikian ketika menjadi saksi pembelaan ketiga bagi kes membabitkan dua beradik itu serta beberapa orang lain yang masih bebas atas tuduhan melakukan khianat dengan membakar gereja Metro Tabernacle Church AG di No28, Jalan 4/4C. Desa Melawati, pada jam 11.50 malam, 7 Januari lalu.

Bagi kesalahan itu mereka didakwa mengikut Seksyen 436 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman 20 tahun penjara dan denda jika sabit kesalahan.
Dalam pada itu, Hamzan turut mengaku di mahkamah dia tidak memberitahu polis ketika memberi keterangan berkaitan jamuan BBQ diadakan sempena bertukar ke sekolah baru.

Apabila ditanya peguam bela Nurul Aimi Aziz alasan berbuat demikian, dia berkata Inspektor Mohd Hanis Abdul Wahab tidak bertanyakan hal itu.

“Dalam masa sama, saya lihat dia hanya bertanyakan soalan berpandukan nota padanya,” katanya.

Hamzan turut tidak bersetuju dengan cadangan Azlina bahawa dia hanya mereka cerita jamuan BBQ untuk membantu kedua-dua tertuduh.

Hakim S M Komathy Suppiah menetapkan hujahan diadakan esok.

No comments:

Post a Comment