Search This Blog

Thursday, August 12, 2010

Asal logam, semua dicuri





HULU SELANGOR 11 Ogos – Ibarat jatuh ditimpa tangga. Mungkin itulah pepatah yang paling sesuai bagi memberi gambaran tentang nasib malang pasangan suami isteri, M. Vanie, 33 dan E. Shankar, 37.
Pasangan yang pada awalnya memasang impian untuk hidup lebih selesa dengan berhijrah dari Kajang ke Bukit Beruntung selepas Shankar ditimpa kemalangan jalan raya hampir enam tahun lalu, kini seperti menyesal berpindah ke situ.
Ini kerana kehidupan yang dilalui mereka pada hari ini jauh lebih teruk daripada apa yang dibayangkan sebelum ini.
Walaupun kadar sewa rumah tiga bilik itu sebanyak RM100 cukup melegakan tetapi ada beberapa perkara yang menimbulkan rasa terkilan pasangan itu.
Dia yang menyewa di pangsapuri Seri Semarak sejak lebih setahun lalu berkata, sudahlah terseksa dengan kehidupan kais pagi makan pagi, kais petang makan petang, kehidupan mereka juga didakwa diancam bahaya.
Menurut Vanie, keadaan persekitaran pangsapuri yang agak jauh dari jalan besar, tiada kemudahan pengangkutan awam menyebabkan hanya 10 peratus daripada 100 unit pada setiap blok yang didiami.
Selebihnya terbiar kosong menjadikan kawasan pangsapuri itu agak sunyi dan adakalanya menyeramkan.
“Keadaan itu juga menyebabkan pangsapuri ini sering menjadi sasaran individu tertentu yang mencuri apa sahaja yang boleh dijadikan wang seperti besi buruk, logam wayar bumi serta penutup lubang utiliti. Apabila ini berlaku kami di sinilah yang menjadi mangsa,’’ ujarnya.
Tinjauan Utusan Malaysia mendapati apa yang didakwa Vanie adalah benar apabila wayar bumi yang berfungsi sebagai pengalir elektrik ke bumi jika berlaku lebihan kuasa di blok pangsapuri berkenaan telah hilang.
Dakwanya, sejak wayar tersebut dicuri, keselamatan keluarganya dan sebuah lagi keluarga di tingkat atas terancam.
Ini kerana setiap kali hujan atau ribut petir, kesemua peralatan elektrik tidak boleh digunakan kerana ia akan mendedahkan mereka kepada bahaya kejutan elektrik.
Turut memberi tekanan ialah sikap mementingkan diri salah seorang jiran yang melakukan kerja-kerja membasuh pakaian, pinggan mangkuk dan mandi-manda di luar rumah, menyebabkan longkang di situ sering tersumbat dan berbau busuk.
Dakwa Vanie, akibat tidak tahan lagi, mereka sepakat untuk menegur jiran tersebut, tetapi tidak dipedulikan.
“Saya juga sudah beberapa kali mengadu kepada wakil penduduk, namun tiada sebarang maklum balas diterima, begitu juga aduan kepada Ahli Parlimen Hulu Selangor P. Kamalanathan,” katanya.
Selain soal keselamatan, dia merayu Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) mempertimbangkan permohonannya untuk mendapat bantuan memandangkan keadaan suaminya yang sudah dikategorikan sebagai kurang upaya dan tidak mampu lagi menyara keluarga.
“Bukan saya tidak mahu mencari pekerjaan, namun siapa pula yang akan menguruskan suami dan anak perempuan sepanjang tempoh ketiadaan saya keluar bekerja,” akuinya.
Tambahan pula, katanya, mereka tidak mempunyai kenderaan, yang turut menjadi punca anak perempuan tunggalnya, Shema, 5, terpaksa diberhentikan sekolah sejak beberapa bulan lalu.
“Ini kerana saya tidak mampu membayar tambang bas sekolah dan yuran sekolah kerana tidak mempunyai sumber kewangan tetap kecuali pendapatan suami sebagai pengutip barang lusuh dan besi buruk,” katanya.
Sambil mengucapkan terima kasih atas keprihatinan kerajaan membaik pulih bangunan pangsapuri itu, dia berharap pihak berkuasa terutama wakil rakyat dapat melihat perkara asas yang dianggap kecil tetapi boleh mendatangkan masalah besar jika tidak diselesaikan segera.
“Saya cuma berharap, pihak bertanggungjawab dapat membantu kami menyelesaikan masalah yang dihadapi. Takkan hendak menunggu nyawa hilang, baru mahu ambil tindakan,’’ ujarnya.
Pangsapuri Seri Semarak di sini sebelum ini pernah mendapat liputan meluas media apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan peruntukan RM15.6 juta bagi membaiki kerosakan pangsapuri sekitar Bandar Bukit Sentosa dan Bukit Beruntung.
Ia diumumkan pada program Juara Rakyat di Tapak Ekspo Bukit Sentosa di Hulu Selangor pada Januari lalu.
Tinjauan Utusan Malaysia mendapati kerja-kerja membaik pulih bumbung dan mengecat bangunan pangsapuri yang mempunyai empat blok itu sedang giat dijalankan.
Penduduk berharap kerja baik pulih itu turut merangkumi proses penggantian besi yang dicuri.

No comments:

Post a Comment