Search This Blog

Sunday, August 8, 2010

Anggota polis kejar penjenayah meninggal



KUALA LUMPUR 7 Ogos - Seorang anggota polis, Lans Koperal Nik Faizi Nik Din yang koma sejak tiga hari lalu selepas terlibat dalam kemalangan jalan raya di Sentul, Rabu lalu meninggal dunia hari ini.
Anggota polis berusia 25 tahun itu mengalami kecederaan parah dalam kemalangan tersebut ketika cuba mengejar penjenayah di Jalan Segambut.
Allahyarham disahkan meninggal dunia kira-kira pukul 10.45 pagi di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Kuala Lumpur (HKL).
Pemergian Allahyarham yang juga peninju Polis Diraja Malaysia (PDRM) bukan sahaja ditangisi oleh ahli keluarganya malah turut dirasai oleh rakan-rakan termasuk Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Zakaria Pagan.
Zakaria ketika ditemui di surau kuarters HKL hari ini memberitahu, beliau mengenali Allahyarham sejak April lalu, sebagai seorang yang pendiam, berbudi bahasa tinggi dan terkenal dengan sifat berani.
"Saya bangga dengan Nik Hafizi yang sanggup bergadai nyawa demi menjalankan tugas dan tanggungjawab membanteras jenayah.
"Insiden menimpa Nik Hafizi merupakan contoh risiko yang perlu diambil dan dihadapi oleh anggota polis untuk menjaga keselamatan orang awam," katanya.
Dalam kejadian berkenaan, mangsa yang ditugaskan untuk menjaga kawasan belakang sekatan jalan raya di situ ternampak seorang lelaki membawa parang dan cuba berpatah balik dengan melawan arus.
Mangsa mengejar suspek menggunakan motosikal tetapi sebaik sahaja tiba di bulatan Kepong, motosikal mangsa hilang kawalan dan bertembung dengan sebuah treler.
Sementara itu, suasana pilu menyelubungi pekarangan surau kuarters HKL apabila lebih 50 kenalan dan keluarga Nik Hafizi hadir memberi penghormatan terakhir.
Bapa Nik Hafizi, Nik Din Wan Muda, 49, berkata, dia reda dengan pemergian anak kedua daripada enam beradik itu.
Jenazah Nik Hafizi dibawa pulang ke Felda Ciku 3, Gua Musang untuk dikebumikan.
Menurut ibunya, Nik Zaharah Nik Awang, 48, semua ahli keluarga berada di sisi sebelum Allahyarham menghembuskan nafas terakhir.

No comments:

Post a Comment