Search This Blog

Tuesday, August 10, 2010

Ancaman babi hutan



Oleh Sabaruddin Abd Ghani
bhnews@bharian.com.my
2010/08/10

Haiwan liar boleh bertindak agresif serang orang ramai

KUALA KETIL: Kehadiran sekumpulan babi hutan yang membuat sarang di kawasan belukar berhampiran stesen bas di sini, sejak kira-kira dua tahun lalu menimbulkan kebimbangan orang ramai kerana ia boleh mengancam keselamatan.
Ini kerana kedudukan ‘sarang’ babi hutan itu terlalu hampir dengan pusat tumpuan orang ramai yang menggunakan perkhidmatan pengangkutan awam di situ, selain lokasi berkenaan turut menempatkan pelbagai premis perniagaan.
Seorang peniaga di stesen bas itu, Azlan Muhamad, 40, berkata haiwan itu mungkin bertindak agresif termasuk menyerang orang ramai yang berurusan di situ, selain penduduk dan peniaga di kawasan sekitarnya jika habitatnya diancam.

Beliau berkata, kewujudan semak samun berhampiran stesen bas itu menyebabkan haiwan berkenaan menjadikan ia sebagai habitatnya walaupun lokasinya berhampiran dengan kawasan pekan dan tempat yang sibuk dengan orang ramai kerana selain stesen bas, terdapat taman perumahan, kompleks niaga, pasar basah dan kilang, di situ.

"Haiwan itu kerap dilihat keluar mencari makan pada waktu malam, terutama apabila hujan dan kami sering melihat ia berkeliaran sehingga menghampiri premis niaga di kawasan perhentian bas.

"Kami bimbang ia mungkin boleh membahayakan nyawa jika haiwan itu berasa terancam dengan kehadiran orang ramai," katanya ketika ditemui di sini.
Tinjauan Berita Harian mendapati dua kawasan belukar dan paya berhampiran stesen bas dan berdekatan bekas tapak hospital lama Kuala Ketil menjadi lokasi haiwan berkenaan bersembunyi.

Berikutan kehadiran haiwan liar itu, peniaga dan penduduk di situ tidak lagi mengusahakan tanaman secara kecil-kecilan di belakang premis mereka kerana ia menjadi sasaran kumpulan babi hutan itu yang keluar mencari makan.

Pengguna bas, Zaharah Sulaiman, 53, berkata, dia pernah beberapa kali terserempak dengan kumpulan babi hutan itu yang keluar mencari makan pada lewat petang di kawasan semak berhampiran stesen bas itu.

Katanya, keadaan itu menyebabkan orang ramai di situ ketakutan bimbang haiwan terbabit menyerang mereka yang boleh menye-babkan kejadian tidak diingini.

“Jika haiwan itu mengamuk, mungkin ramai mangsa akan cedera kerana kawasan stesen bas di sini sentiasa sesak terutama ketika penduduk keluar ke pekan atau ketika pelajar pulang sekolah.

“Kita berharap pihak berkuasa dapat mengambil tindakan, termasuk menembak haiwan itu dan membersihkan semak di kawasan berkenaan bagi mengelak sebarang kejadian buruk menimpa orang ramai," katanya.

Penduduk Taman Desa Bidara, Rosli Yahya, 35, berkata, kira-kira dua bulan lalu ketika memandu dari stesen bas ke Merbau Pulas, dia terserempak dan nyaris terlanggar seekor babi hutan di jalan raya.

Sementara itu, Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Ketil, Mohd Khairul Azhar Abdullah berkata, pihaknya akan mengadukan masalah itu kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) dan Majlis Daerah Baling (MDB) supaya haiwan itu dan tempat persembunyiannya dihapuskan.

"Kita berharap pihak berkuasa dapat mengambil tindakan memburu haiwan itu sebelum sebarang kejadian buruk menimpa penduduk berlaku," katanya.

No comments:

Post a Comment