Search This Blog

Tuesday, August 31, 2010

Anak ghaib bersama kereta


Oleh Shahrul Nizam Mohamad
am@hmetro.com.my
2010/08/31

KUANTAN: Kehilangan seorang lelaki bersama Proton Waja berwarna perak dipandunya menimbulkan persoalan selepas lelaki itu dikatakan ‘ghaib’ tanpa meninggalkan kesan.
Lelaki terbabit, Mohd Fazwan Azmi, 21, dari Jaya Gading, di sini, yang bekerja di Kuala Lumpur sehingga kini gagal dikesan termasuk kereta dipandunya bernombor pendaftaran MBC8272.
Ibunya, Sarimah Abdullah, 44, berkata sebelum itu, anaknya menghubungi dan memaklumkan dia mahu ke Kampung Kor Beta, Kota Bharu dari Kuala Lumpur kerana mahu melihat keadaan rumah selepas berpindah ke Kuantan.

“Mohd Fazwan memberitahu selepas menziarahi rumah lama, dia akan bertolak ke Kuantan pada 9 Ogos lalu.

“Bagaimanapun, sehingga kini Mohd Fazwan belum tiba di Kuantan menyebabkan kami sekeluarga resah selain memikirkan keselamatannya,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Jaya Gading, di sini, semalam.

Menurutnya, dia cuba menghubungi rakan anaknya, namun panggilannya tiada jawapan sebelum membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD), Kuantan, kelmarin.

Katanya, dia turut membuat pemeriksaan di Balai Trafik Kuantan sama ada anaknya terbabit dalam kemalangan, namun selepas pemeriksaan dijalankan ke atas nombor pendaftaran kereta mendapati kenderaan itu gagal dikesan.

Sarimah berkata, dia buntu serta tidak tahu bagaimana hendak mencari anaknya selain mengharapkan bantuan ahli keluarga terdekat termasuk terus mencuba menghubungi nombor telefon anaknya.

“Saya yakin Mohd Fazwan masih hidup tetapi tidak tahu dia berada di mana. Saya tidak akan berhenti mencarinya setiap hari walaupun sibuk dengan perniagaan.

“Saya berharap pencarian saya sejak hari kehilangannya akan berhasil dan dapat bertemu dengannya semula sebelum Aidilfitri,” katanya sedih.

Menurutnya, majikan anaknya di Kuala Lumpur menghubungi serta memberitahu anaknya sudah tiga hari tidak datang kerja sejak tarikh kehilangannya.

No comments:

Post a Comment