Search This Blog

Monday, August 2, 2010

Ambil alih jual air ketum dari suami

KUALA TERENGGANU: Selepas suaminya tidak lagi berupaya bekerja, seorang wanita yang mempunyai lima anak mengambil alih tugas dari suaminya menjual air daun ketum.
Namun dia yang berumur 32 tahun ditahan di rumahnya di Kampung Simpang Empat di Chendering di sini semalam.
"Ketika ditahan, wanita ini baru saja selesai membungkus 10 liter air ketum ke dalam 117 bungkus kecil, yang keseluruhan bernilai RM350 untuk pembeli di sekitar kampung berkenaan," kata Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Negeri, Supt Roslan Abdul Wahid.

Wanita berkenaan dikatakan mengambil alih berniaga air ketum daripada suaminya yang sedang sakit kencing manis dan jantung.

Dia memberitahu polis, dia terpaksa menjual air ketum kerana terpaksa menampung keluarganya.

"Suaminya yang berumur 50-an juga telah beberapa kali ditangkap dan dikenakan denda, tetapi pasangan ini tidak serik kerana sebaik sahaja membayar denda di mahkamah, mereka terus sambung perniagaan air ketum," kata Roslan.

Daun-daun ketum itu diperolehi dari Johor.

Dalam satu kes berasingan, polis menahan seorang buruh dan merampas 46 gram heroin bernilai RM14,000 di rumahnya di Kampung Raja juga di Chendering.

Suspek yang berumur 38 tahun dan merupakan pengedar dan penagih tegar kini direman selama tujuh hari. Kesalahan ini boleh membawa hukuman gantung sampai mati. Roslan berkata, kes narkotik di Terengganu dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini meningkat mendadak berbanding tempoh yang sama tahun lalu.

"Sebanyak 5,233 tangkapan membabitkan dadah dibuat sepanjang Januari hingga Jun berbanding 4,083 kes dalam tempoh sama tahun lalu," katanya.

Seramai 119 pelajar sekolah dan institusi pengajian tinggi ditahan berhubung kes dadah, iaitu peningkatan yang membimbangkan berbanding dengan jumlah 38 pelajar yang ditahan dalam tempoh sama tahun lalu," tambahnya.-Bernama

No comments:

Post a Comment