Search This Blog

Friday, August 13, 2010

Akibat tegur anak jiran

SELAYANG: Hanya kerana menasihati anak jiran yang nakal, seorang lelaki cedera dipukul jirannya yang tidak berpuas hati dengan tindakannya kerana dikatakan menjaga tepi kain orang.
Bapa budak berkenaan yang juga penyewa rumah mangsa di Kampung Baru Batu Caves, di sini, bertindak memukul mangsa sehingga cedera di lengan dan kaki.
Dalam kejadian kira-kira jam 10 pagi Jumaat lalu, mangsa, Mohd Rasul Zakaria, 45, didatangi bapa kanak-kanak terbabit berusia 30-an yang tiba-tiba masuk ke rumahnya sebelum memaki hamun ibu mangsa dan keluarganya.

Lelaki terbabit dikatakan tidak berpuas hati tindakan mangsa mengadu kepada guru besar sekolah anaknya berkaitan perilaku anaknya yang suka membuat bising dan memecahkan tingkap rumah jiran ketika bermain bola di padang sempit berdekatan rumahnya.

Lelaki terbabit menuduh mangsa mengintip isterinya mandi bagi menutup kesalahan dilakukan anaknya.

Lelaki yang bekerja sebagai seorang pengawal keselamatan itu bertindak menyerang mangsa walaupun berkali-kali cuba dileraikan ibu mangsa, malah turut bertindak mengasari ibunya.

Selepas memukul mangsa, lelaki itu meninggalkan rumah mangsa.

Mohd Rasul berkata, anak lelaki terbabit berusia 12 tahun disifatkan kanak-kanak yang sangat nakal kerana gemar merokok walaupun baru bersekolah rendah, malah dia juga memiliki kumpulan samseng sendiri dengan melakukan kegiatan jenayah di sekitar kawasan itu. seperti mencuri harta benda penduduk.

Difahamkan, kumpulan dianggotai anak lelaki terbabit turut disertai beberapa anak warga Indonesia yang tinggal berhampiran dan mereka kerap menghisap ganja dan terbabit dalam kes dadah.

Menurutnya, isteri lelaki terbabit yang menjalankan perniagaan menjual nasi lemak sering menasihati anaknya itu untuk berkelakuan baik, tetapi tidak dihiraukan.

Katanya, dia kemudian membuat laporan mengenai kejadian itu di Balai Polis Selayang Sabtu lalu, tetapi tidak diterima kerana anggota bertugas memberi alasan kes itu adalah kecil.
Berikutan itu, mangsa membuat laporan di Balai Polis Brickfields, di sini dan berharap polis selalu datang ke Jalan Bunga Raya Utama 3, Kampung Baru Batu Caves untuk membuat rondaan. Beliau berkata, dia kesal dengan sikap yang ditunjukkan lelaki terbabit yang tidak menghargai nasihat diberikan dan juga jasa baik keluarganya menyewa rumah kepada keluarganya selama hampir dua tahun.

No comments:

Post a Comment