Search This Blog

Thursday, August 12, 2010

Ajal sebelum Ramadan




BAGAN DATOH - “Adik, mak tak boleh angkat, adik mengucaplah.”Hanya itu kata-kata yang mampu dilafazkan seorang ibu apabila melihat anaknya nazak di hadapan matanya selepas dihempap traktor yang terbalik di Rizab Parit 6, Kampung Sungai Pergam, di sini, kelmarin. 

Tawiyah Zurmuti, 59, yang menceritakan saat-saat terakhir bersama anak bongsunya, Mohd Hafizin Basiran, 20, berkata, kejadian yang berlaku begitu menyayat hati. 

Dia tidak mampu berbuat apa-apa setelah traktor yang dipandu arwah secara tiba-tiba terbalik disebabkan keadaan tebing jalan yang lembut. 

Menurutnya, arwah pada mulanya cuba membawa traktor yang tersangkut dek kerana bebanan kelapa sawit tetapi percubaan yang dilakukan itu menyebabkan kenderaan itu terbalik dan terus menghempapnya. 

“Arwah masa itu cuba keluarkan diri tetapi gagal kerana tersepit di bawah traktor dan saya lihat dia menangis sekuat hati. 

“Saya ajarkan dia mengucap dan saya azan sekuat hati serta bersyahadah selepas melihat mukanya berubah menjadi pucat,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Parit 7, Kampung Sungai Pergam, di sini, semalam. 

Kata Tawiyah, selepas melihat arwah semakin pucat, dia terus mendapatkan bantuan daripada jiran yang berhampiran dengan ladang sawitnya. 

Menurutnya, arwah memang seorang yang rajin dan dia bersama suami sering membantunya memungut buah kelapa sawit termasuk pada hari kejadian. 

Menurutnya, pada kebiasaan arwah akan pergi dahulu bersama suaminya dan dia sendiri akan datang lewat sedikit selepas menguruskan kerja-kerja rumah. 

Sebelum kejadian Tawiyah ada terkenangkan arwah tentang puasa dan mahu bersahur bersama-sama tetapi rupanya hajat mereka sekeluarga tidak kesampaian. 

Bapa mangsa, Basiran Mat Tamin, 70, berkata, pemergian arwah begitu dirasai memandangkan mereka tinggal bertiga di rumah dan apabila sakit, arwah akan menghantarnya ke klinik atau hospital. 

Menurutnya, sebelum kejadian itu arwah pernah memberitahu mereka untuk membina rumah kecil dan menyangka ia gurauan atau memang arwah mahu membinanya di dalam ladang tetapi rupanya ia adalah petanda pemergiannya. 

“Arwah anak yang sangat baik dan dia telah curahkan kasih sayangnya kepada kami tetapi Tuhan telah tentukan sampai di sini sahaja kami dapat merasainya. 

“Ramadan kali ini begitu sunyi buat kami yang sudah biasa dengan telatah dan senyum tawanya apabila berada di rumah,” katanya. 

Sementara itu, rakan yang membantu mengeluarkan mangsa, Yusfarizal Mohd Yusof, 30, berkata, ketika kejadian dia berada di bengkel yang tidak jauh daripada tempat kejadian dan terdengar jeritan ibu mangsa meminta tolong. 

Menurutnya, selepas dimaklumkan kejadian berkenaan, dia terus bergegas membawa kayu untuk membantu mangsa yang tersepit. 

Katanya, sampai di tempat kejadian, mangsa sudah tidak bernyawa dengan keadaan muka dan badannya kebiruan serta mulutnya mengeluarkan buih. 

Kata Yusfarizal, dengan bantuan seorang lagi rakan yang juga pakciknya, Samrin Siun, 38, mangsa berjaya dikeluarkan selepas traktor dituil menggunakan kayu yang dibawa tadi. 

“Sebelum meninggal saya nampak arwah menaiki traktor mengelilingi kampung sebanyak dua kali dan hanya tersenyum sahaja,” katanya. 

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Goh Kok Liang yang dihubungi Sinar Harian mengesahkan kejadian itu. 

Beliau berkata, kejadian berlaku jam 1.35 petang ketika mangsa dari arah Perak River menuju ke Sungai Pergam. 

Menurutnya, mangsa meninggal dunia di tempat kejadian akibat terhimpit traktor yang dipandunya dan siasatan polis mendapati tiada kaitan unsur jenayah. 

Beliau berkata, berdasarkan bedah siasat, mangsa disahkan meninggal dunia akibat kecederaan pada bahagian abdomen.

No comments:

Post a Comment