Search This Blog

Thursday, August 12, 2010

52 kes gores dan menang dikesan





Wakil-wakil media diraikan pada majlis jamuan makan sempena program Kepenggunaan Bersama Media di Banafee Village, di Johor Bahru, semalam.


JOHOR BAHRU 11 Ogos – Sebanyak 52 kes melibatkan sindiket gores dan menang dikesan Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (PPDNKK) negeri sepanjang tempoh Januari hingga hujung Julai lalu.
Pengarahnya, Che Halim Abd. Rahman berkata, pihaknya akan terus memantau semua sindiket gores dan menang berkenaan yang beroperasi di sekitar negeri ini bagi mengelakkan lebih ramai pengguna menjadi mangsa.
Menurutnya, peranan media amat penting untuk membantu PPDNKK menyampaikan sebarang maklumat penting berhubung hak dan kuasa pengguna supaya orang ramai sedar bahawa mereka perlu bertindak apabila terlibat dalam situasi penipuan dalam perniagaan.
“Kes gores dan menang di Johor setakat ini amat tinggi serta membimbangkan, namun PPDNKK sentiasa memantau pergerakan sindiket dan berharap orang ramai dapat menyalurkan sebarang maklumat berkaitan.
“Jika orang ramai dapat memberikan kerjasama seterusnya PPDNKK mendapat maklumat penuh mengenai kegiatan ini, dalang yang terlibat akan disiasat selepas ditangkap di bawah Akta Jualan Langsung 1993 dan boleh dihadapkan ke mahkamah.
“Oleh itu, saya amat berharap kerjasama rakan media sama ada elektronik atau cetak untuk membantu kami menyebarkan maklumat bagi mendidik orang ramai,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan pada program Kepenggunaan Bersama Media di Banafee Village, di sini hari ini.
Che Halim berkata, orang ramai diingatkan supaya sentiasa berwaspada dengan taktik licik ejen-ejen sindiket gores dan menang yang bijak mempengaruhi mangsa untuk membeli pelbagai barangan ditawarkan.
“Saya ingin menyeru masyarakat di negeri ini supaya elakkan diri daripada terpedaya dengan tawaran hebat yang diuar-uarkan sekali gus menolak pelawaan ejen-ejen sindiket gores dan menang untuk datang ke pejabat mereka.
“Mangsa lazimnya lebih mudah terjerat selepas berada di pejabat sindiket apabila gagal menolak pelawaan pada mulanya, sebelum dipujuk rayu secara bertubi-tubi oleh ejen-ejen yang ramai,” katanya.
Selain itu, katanya, orang ramai harus bersikap bijak menilai ‘tawaran luar biasa’ sindiket berkenaan memandangkan produk dijual tidak memiliki jaminan kualiti seperti ditetapkan kerajaan.
Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat atau aduan tentang kegiatan gores dan menang diminta menghubungi KPDNKK negeri di talian 07-22728282 atau melalui e-mel ke http://e-aduan.kpdnkk.gov.my atau menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS), 32255.

No comments:

Post a Comment