Search This Blog

Thursday, August 26, 2010

4,500 anggota JPJ awasi 202 jalan maut



KAJANG - Seramai 4,500 anggota Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan dikerah mengawasi 202 'jalan-jalan maut' yang berisiko tinggi berlakunya kemalangan di seluruh negara semasa musim cuti sempena sambutan Aidilfitri tahun ini. 

Ketua Pengarah JPJ, Datuk Solah Mat Hassan berkata, tumpuan diberikan kepada jalan-jalan itu kerana selain faktor pemandu dan kenderaan, keadaan jalan adalah salah satu faktor utama berlaku kemalangan maut. 

“Memang tidak dinafikan faktor jalan turut menyumbang kepada kemalangan, namun jika pemandu berhati-hati mengikut peraturan kelajuan yang ditetapkan, bersopan di jalan raya selain memastikan kenderaan dalam keadaan baik, risiko kemalangan dapat dikurangkan,” katanya kepada media selepas mengadakan lawatan di Depoh Bas Transnasional Sempena Operasi Musim Perayaan Aidilfitri 2010 di sini, semalam, 

Solah berkata, kajian menunjukkan bahawa antara faktor yang menyumbang kepada kemalangan jalan raya ialah kejuruteraan, pendidikan dan penguatkuasaan. 

Katanya, pihaknya juga akan memberi tumpuan kepada perkhidmatan bas yang menjadi salah satu pengangkutan utama untuk orang ramai pulang ke kampung halaman pada musim perayaan ini. 

Beliau berkata, JPJ akan berusaha memastikan semua bas di jalan raya berada dalam keadaan baik dan selamat. 

Solah berkata, pihaknya sudah mengenal pasti 79 depoh atau bengkel bas yang akan digunakan bagi menjalankan operasi pemeriksaan bas-bas untuk memastikan kenderaan itu berada dalam keadaan baik, dan operasi itu sudah bermula sejak 20 Ogos lalu. 

“Pemeriksaan di depoh atau bengkel dibuat bagi mengurangkan kesesakan di terminal. Bas-bas yang sudah menjalani pemeriksaan di depoh itu akan diberikan slip pemeriksaan, dan ia tidak perlu lagi menjalani pemeriksaan di terminal,” katanya. 

Solah berkata, pada Ops Sikap sempena Tahun Baru Cina yang lalu, 629 bas dan 1,740 pemandu diperiksa di depoh dan bengkel yang ditetapkan seluruh negara, dan kini dianggarkan 1,100 bas akan diperiksa di depoh-depoh atau bengkel dalam Ops Sikap kali ini. 

Katanya, bagi musim perayaan ini, 181 bas dan 362 pemandu sudah diperiksa sehingga kini dan menjelang operasi musim perayaan nanti, JPJ juga akan menempatkan anggota penguatkuasaannya untuk mengadakan pemeriksaan ke atas bas-bas ekspres di 34 terminal bas utama seluruh negara. - Bernama

No comments:

Post a Comment