Search This Blog

Thursday, August 26, 2010

42 maut nahas pesawat China




2010/08/26

BEIJING: Sebuah pesawat penumpang China terhempas dan terbakar ketika cuba mendarat di landasan yang diselubungi kabus di bahagian timur laut negara itu kelmarin, mengorbankan 42 orang dan mencederakan 54 yang lain, kata media tempatan semalam. 

Pesawat Henan Airlines membawa 91 penumpang dan lima anak kapal terhempas lewat kelmarin di kawasan berumput berhampiran Lapangan Terbang Lindu di pinggir Yichun, kata agensi Xinhua. Lima penumpang adalah kanak-kanak, kata Pentadbiran Penerbangan Awam China, namun nasib mereka tidak diketahui.Kebakaran yang menyusul menyebabkan sebahagian besar pesawat hangus melainkan bahagian ekor. Televisyen Pusat China (CCTV) berkata lapan mangsa ditemui 20 hingga 30 meter dari bangkai pesawat di kawasan berlumpur.Xinhua berkata pihak berkuasa pada mulanya melaporkan 43 maut kerana satu mayat terputus dalam kemalangan dikira sebagai dua. Ia berkata juruterbang Qi Quanjun, terselamat dalam kemalangan namun cedera parah dan tidak boleh bercakap. 

Seorang daripada yang maut adalah berbangsa China yang memegang pasport asing, menurut Xinhua, namun tidak menyatakan kewarganegaraannya. 

Pesawat Embraer E-190 buatan Brazil itu berlepas dari ibu kota Heilongjiang di Harbin sejurus sebelum jam 9 malam dan terhempas sejam lebih kemudian ketika tiba di Yichun, bandar dengan kira-kira sejuta penduduk terletak 160 kilometer dari sempadan Russia. Lapangan terbang Yichun sudah beroperasi selama setahun. 

Seorang penumpang lelaki berusia pertengahan yang terselamat memberitahu CCTV berlaku gelora ketika pesawat menurun, kemudian beberapa goncangan besar yang menyebabkan bagasi terjatuh dari bahagian atas. 
Selepas pesawat berhenti, penumpang di belakang panik dan berlari ke depan, kata lelaki tidak dinamakan itu ketika ditemuramah dari katil hospital. AP 

No comments:

Post a Comment