Search This Blog

Friday, August 13, 2010

4 maut kemalangan berasingan di Pahang




SEBUAH lori tangki yang dikatakan cuba mengelak kenderaan lain merempuh seorang penunggang motosikal hingga menyebabkan dia maut di Temerloh. 12 Ogos 2010. - Utusan


KUANTAN: Empat maut dalam kemalangan berasingan pada hari pertama Ramadan semalam di Pahang.
Ketua Jabatan Ketenteraman Awam dan Trafik Pahang, Superintendan Mohamed Fauzi Abdul Rahim berkata, dalam kejadian pertama pada 12.20 tengah hari, seorang penunggang motosikal, Helmyzan Osman, 35, maut apabila kenderaannya dirempuh sebuah treler di Kilometer 138 Jalan Kuala Lumpur-Kuantan dekat Temerloh.
Beliau berkata, ketika kejadian treler itu yang dalam perjalanan dari Bukit Kayu Hitam, Kedah menuju ke Kuantan cuba mengelak dari melanggar sebuah kereta yang secara tiba-tiba keluar dari simpang jalan berhampiran Taman Jelutong, Temerloh sebelum melanggar motosikal ditunggangi mangsa.

Dalam kejadian kedua, seorang pemandu, Muhammad Fadhirul Helmi, 28, maut selepas kereta yang dipandunya bertembung dengan sebuah kenderaan pacuan empat roda di Kilometer 22 Jalan Lipis-Merapoh.

"Ketika kejadian kira-kira 12.30 tengahari itu, kereta yang dipandu mangsa sedang dalam perjalanan dari Merapoh menuju ke Lipis sebelum terbabas dan memasuki laluan kanan jalan lalu bertembung dengan kenderaan jenis Perodua Kembara yang datang dari arah bertentangan," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Mohamed Fauzi berkata, mangsa maut di tempat kejadian akibat kecederaan teruk di kepala manakala pemandu Kembara tersebut cedera parah dan kini dirawat di Hospital Kuala Lipis.

Sementara itu, seorang pemandu lori aiskrim, Noor Azmee Dollah, 37, maut apabila kenderaan yang dipandunya bertembung dengan sebuah lori pasir di Jalan Utama Felda Lakum dekat Jerantut kira-kira 4.20 petang.

Dalam satu lagi kemalangan pada 5.25 petang, pengetua Sekolah Menengah Sultan Ahmad Shah, Cameron Highlands maut selepas kereta jenis Honda CRV yang dipandu suaminya terbabas lalu melanggar tebing bukit di KM27 Sungai Koyan-Cameron Highlands.

Mangsa, Nisah Ismail, 56, maut di tempat kejadian manakala suaminya hanya mengalami kecederaan ringan.

"Faktor hujan lebat serta jalan tidak rata dipercayai menjadi punca kemalangan tersebut," katanya.-Bernama

No comments:

Post a Comment