Search This Blog

Tuesday, August 31, 2010

3 maut, 3 parah dalam nahas motosikal





2010/08/31

BESUT: Dua penunggang dan seorang pembonceng motosikal maut manakala tiga yang lain cedera parah dalam kemalangan berasingan, semuanya membabitkan motosikal di daerah ini, awal pagi ini. 

Pemangku Ketua Polis Daerah Besut, DSP Noor Zainy Mohd Noor, berkata dalam kejadian 12.15 pagi tadi, dua penunggang motosikal yang dikatakan memandu laju bersama empat penunggang lain, maut setelah bertembung dengan sebuah motosikal dari arah bertentangan di KM4, Jalan Jerteh-Kampung Raja dekat Kampung Alor Lintah di sini.
Katanya, kedua-dua penunggang yang meninggal dunia di tempat kejadian ialah Mohd Zailani Mustaffa, penganggur berasal dari Kampung Gong Tok Tor, Nyiur Tujuh dan Muhamad Saifullah Jusoh, 17, pelajar Tingkatan Lima, SMK Permaisuri Nur Zahirah di sini, dan berasal dari Kampung Seberang Kastam, Kampung Raja.
Sementara itu, seorang lagi penunggang motosikal, Mohamad Khairul Azmi, 24, yang berasal dari Kampung Geliga Kemaman dan pembonceng Mohd Habibillah Hassan, 19, dari Kampung Pulau Melati, Tok Raja cedera parah. 

Katanya, Mohamad Khairul dan Mohd Habibillah pada mulanya dirawat di Hospital Daerah Besut sebelum dirujuk ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian, Kota Baharu. 

Sementara itu, dua beradik yang bermotosikal untuk membeli juadah berbuka puasa dilanggar sebuah kereta di Kampung Baharu, dekat sini, kira-kira 4 petang semalam menyebabkan seorang daripadanya meninggal dunia. 

Amira Dunia, 20, berasal dari Semerak, Pasir Putih, Kelantan meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Daerah Besut manakala adiknya, Azizul, 17, yang menunggang motosikal itu mengalami cedera parah dan kini dirawat di HUSM. 
Noor Zainy berkata, polis mengklasifikasikan kemalangan itu sebagai langgar lari dan meminta orang ramai yang melihat kejadian itu supaya menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik Besut, Insp Faizal Idrus di talian 09-6972700 atau 09-6956222. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment