Search This Blog

Friday, August 13, 2010

3 AJK kuil didakwa bunuh adik bongsu Lingam



13/08/2010 12:06pm

PETALING JAYA 13 Ogos - Tiga anggota jawatankuasa (AJK) sebuah kuil di Puchong didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini terhadap pertuduhan membunuh adik bongsu peguam Datuk V.K. Lingam di sebuah kuil minggu lalu.
D.K. Saravanan, 29; A. Thayalan, dan M. Devidasan yang masing-masing berumur 30 tahun, dituduh bersama-sama membunuh V. Rajendram, 52, di Kuil Audiyar Muniswara, Jalan Puteri, Bandar Puteri, Puchong, di antara pukul 9.30 malam, 2 Ogos dan 12.05 tengah malam, 3 Ogos.
Kesemua tertuduh yang diwakili peguam bela P. Sutheswary, didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.
Saravanan yang bekerja sebagai juru wayar, Thayalan bekerja sendiri dan Devidasan seorang pekerja kilang, mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan terhadap mereka dalam Bahasa Malaysia di hadapan Majistret Mohamad Ibrahim Mohammad Ghulam.
Beliau kemudian menetapkan 23 Sept depan untuk sebutan semula kes.
Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Siti Fatimah Yahya.
Pada 3 Ogos lepas, mangsa yang merupakan anak bongsu daripada tujuh adik-beradik, ditemui mati kira-kira pukul 3 pagi di sebuah stesen minyak di Bandar Puteri Puchong selepas dipercayai dipukul tiga lelaki di sebuah kuil. - Bernama

No comments:

Post a Comment