Search This Blog

Monday, August 2, 2010

20 PATI warga Afghanistan lari





Gambar fail bertarikh 2 Mac 2010 di mana 16 mangsa perdagangan manusia lari dari Depot Tahanan KLIA.


KUALA LUMPUR 1 Ogos - Bolos lagi! Apa sebenarnya yang berlaku terhadap sistem kawalan keselamatan di Depot Tahanan Imigresen Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Sepang.
Pada Jun lalu, semua 88 anggota dan pegawai Jabatan Imigresen yang bertugas di depot tahanan itu ditukarkan serta-merta berikutan kejadian 16 mangsa pemerdagangan manusia dari Afghanistan dan Myanmar berjaya meloloskan diri.
Tidak sampai dua bulan selepas anggota dan pegawai baru ditugaskan di depot tahanan itu yang turut dipertingkatkan sistem kawalan keselamatannya, kejadian yang sama berlaku lagi pagi ini apabila 20 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Afghanistan melarikan diri.
Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar berkata, semua mangsa pemerdagangan manusia itu dipercayai melarikan diri pukul 3 pagi selepas memotong dua batang besi jeriji pagar di depot tahanan tersebut.
"Sebaik sahaja polis menerima laporan mengenai kejadian itu pukul 7.10 pagi ini, kita telah melancarkan gerakan memburu semua tahanan itu yang berusia antara 20 hingga 40 tahun.
"Sehingga petang ini, kesemua mereka masih belum ditemui," katanya ketika dihubungiUtusan Malaysia hari ini.
Ini merupakan kejadian kedua dalam tempoh tidak sampai 5 bulan, tahanan asing meloloskan diri dari depot tersebut.
Pada 28 Mac lalu, 16 mangsa pemerdagangan manusia dari Afghanistan dan Myanmar melarikan diri dari depot tahanan yang sama.
Mereka yang berusia antara 22 hingga 48 tahun dipercayai melarikan diri antara pukul 5 hingga 7 setelah memotong jeriji besi dan memanjat pagar.
PATI terbabit dibawa ke depot berkenaan selepas ditahan di Tanjung Karang, Selangor ketika cuba diseludup ke Australia.
Berikutan kejadian itu, kesemua anggota dan pegawai Imigresen yang bertugas di situ ditukarkan ke tempat lain atas arahan Ketua Pengarahnya, Datuk Abdul Rahman Othman.
Abdul Rahman turut mengarahkan agar tahap kawalan keselamatan di depot terbabit diperketatkan dengan meningkatkan jumlah anggota yang menjalankan tugas setiap hari.
Selain itu, dari segi struktur bangunan pula, mana-mana pagar yang rosak atau sudah usang ditukarkan dengan yang baru serta dilengkapi sistem keselamatan lebih baik.
Dalam pada itu, Khalid berkata, pihaknya telah mengadakan rondaan, sekatan jalan raya dan menggunakan khidmat Unit Anjing Pengesan (K9) sebagai langkah mengesan kesemua PATI tersebut.
Beliau turut menggesa orang ramai di sekitar kawasan berdekatan supaya menghubungi polis sekiranya ternampak pendatang asing yang dalam keadaan mencurigakan.
Sementara itu, usaha untuk mendapatkan penjelasan daripada Jabatan Imigresen gagal apabila mereka yang dihubungi enggan memberi komen.

No comments:

Post a Comment