Search This Blog

Wednesday, July 14, 2010

Wanita warga asing ditahan jual bayi RM10,000



KUCHING 13 Julai - Polis menahan seorang wanita rakyat asing yang terlibat dalam sindiket penjualan bayi di bandar raya ini dalam serbuan di Bandar Baru Batu Kawa (MJC) malam tadi.
Wanita berusia lingkungan 30-an itu ditahan kira-kira pukul 9 malam selepas meminta wang berjumlah RM10,000 daripada seorang anggota polis yang menyamar sebagai pembeli.
Bertindak atas maklumat, polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sarawak menuju ke kawasan MJC untuk menemui wanita terbabit yang menawarkan seorang bayi perempuan yang baru dilahirkan 23 hari lalu untuk dijual.
Salah seorang anggota polis kemudian cuba berurusan dengan wanita itu yang dipercayai baru sebulan berada di negeri ini.
Ketika berurus niaga, wanita itu meletakkan harga RM10,000 untuk menjual seorang bayi perempuan sebelum polis menyerbu dan menahan suspek.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Senior Asisten Komisioner II Huzir Mohamed ketika dihubungi berkata, pihaknya menerima laporan berhubung penahanan seorang wanita warga asing bersama seorang bayi.
"Buat masa ini, kita masih menyiasat sama ada wanita itu mempunyai kaitan dengan sindiket penjualan bayi di negeri ini atau bertindak berseorangan," katanya di sini hari ini.
Bayi perempuan itu kini diletakkan di bawah jagaan Hospital Umum Sarawak sementara menunggu siasatan kes selesai.

No comments:

Post a Comment