Search This Blog

Tuesday, July 20, 2010

Tikam dada isteri

SANDAKAN: Seorang ahli perniagaan yang mempunyai hutang keliling pinggang menikam dada isterinya tiga kali selepas mendakwa diminta berbuat demikian oleh wanita itu yang berada dalam keadaan nyawa-nyawa ikan selepas mengelar pergelangan tangannya sendiri.
Lelaki berusia 42 tahun itu dikatakan berbuat demikian selepas dirayu isterinya yang berusia 41 tahun supaya mempercepatkan kematiannya, dalam kejadian di sebuah rumah tiga tingkat di Batu 1, di sini, kira-kira jam 10 malam kelmarin. Difahamkan, lelaki terbabit yang juga pemilik sebuah syarikat pengangkutan, menggunakan senjata tajam sama digunakan isteri untuk mengelar pergelangan tangan sendiri. Sebulan lalu, pasangan terbabit dipercayai merancang membunuh diri bersama berikutan tekanan hidup kerana mempunyai banyak hutang. Pasangan terbabit dipercayai pernah menjalankan perniagaan di Johor Bahru sebelum ini tetapi ia berakhir dengan kegagalan, lalu mereka membuka perniagaan pengangkutan minyak kelapa sawit di bandar ini beberapa tahun lalu. Ketua Polis Daerah Sandakan, Asisten Komisioner Rosli Mohd Isa berkata, sebelum kejadian mangsa yang tidak bekerja dipercayai mengelar kedua-dua pergelangan tangannya untuk membunuh diri di sebuah bilik di tingkat tiga rumah berkenaan.
Katanya, suami wanita itu kebetulan masuk ke bilik berkenaan menemui mangsa dalam keadaan nyawa-nyawa ikan dan isterinya meminta dia menikamnya sehingga mati menggunakan senjata tajam sebelum itu dipercayai digunakan untuk mengelar tangannya.

“Suami mangsa dipercayai menikam dada mangsa bertubi-tubi menyebabkan mangsa mati di tempat kejadian,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Beliau berkata, suspek melarikan diri ke tingkat bawah tetapi terserempak dengan anak perempuannya berusia 22 tahun baru pulang kerja.

Berikutan itu, suspek lari semula ke bilik tempat dia menikam isterinya dan mengunci pintu dari dalam menyebabkan anaknya mengesyaki sesuatu dan menghubungi polis.

Sepasukan polis menjumpai mayat mangsa dalam keadaan terlentang berlumuran darah, selain sekeping nota antara lain mengingatkan empat anaknya dia akan meninggalkan keluarga dan meminta mereka meneruskan kehidupan dengan baik.

Suspek kini ditahan reman seminggu mengikut Seksyen 117 Kanun Acara Jenayah manakala siasatan dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana kesalahan membunuh dengan niat.

No comments:

Post a Comment