Search This Blog

Sunday, July 11, 2010

Tiga perompak maut

TAMPIN: Cubaan nekad tiga penjenayah bersenjata dari kumpulan ‘Geng 66’ untuk menyamun kediaman ketua Umno cawangan di Kampung Air Gelugor, Gemencheh di sini, bukan saja gagal, malah mengundang padah apabila mereka ditembak mati oleh polis, awal pagi semalam.

INI DIA...Osman menunjukkan senjata yang dirampas, semalam.
INI DIA...Osman menunjukkan senjata yang dirampas, semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 4 pagi, polis menerima panggilan daripada mangsa, Mohd Khalid Mat Dan, 46, memaklumkan terdengar bunyi bising yang luar biasa dari ladang ternakan rusanya dan mengesyaki seseorang cuba menceroboh masuk rumahnya.

Sepasukan polis yang bergegas ke lokasi kejadian mendapati ketiga-tiga penjenayah berusia lingkungan 30-an itu yang sangat dikehendaki, berusaha memasuki rumah mangsa.

Sejurus menyedari kehadiran pihak berkuasa, suspek tersentak dan panik lalu cuba menyerang menggunakan parang, menyebabkan polis terpaksa melepaskan tembakan bagi mempertahankan diri.

Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Osman Salleh berkata, semua suspek mati di tempat kejadian manakala dua lagi rakan mereka yang menunggu di kereta melarikan diri.

“Dua daripada suspek masing-masing terkena tiga das tembakan pada anggota badan manakala suspek ketiga terkena dua das tembakan.
“Hasil pemeriksaan lanjut mendapati pagar ladang ternakan rusa yang berada dalam kawasan kediaman mangsa dipotong. Turut ditemui beberapa senjata iaitu dua parang, pemotong besi, satu kuku kambing dan pemutar skru.

“Tiada dokumen pengenalan diri atau kad pengenalan dijumpai di sekitar lokasi kejadian dan polis menyiasat identiti sebenar tiga suspek berkenaan melalui kesan cap jari bagi memastikan sama ada mereka warga tempatan atau asing,” katanya pada sidang media di sini, semalam.
Hadir sama Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Mohd Zaki Masroh dan Ketua Polis Daerah Tampin, Superintendan Wooi Kooi Cheang.

Menurut Osman, mayat ketiga-tiga suspek dihantar ke Hospital Tuanku Jaafar Seremban (HTJS) untuk bedah siasat dan kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cuba membunuh penjawat awam.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati tiga ahli ‘Geng 66’ itu melakukan 10 kes samun dan pecah rumah di Negeri Sembilan, Melaka dan Johor, termasuk kes terbaru membabitkan kerugian RM30,000 di Felda Jelai ,Gemas, di sini, 11 Jun lalu.

“Kumpulan penjenayah bersenjata ini dipercayai bergiat aktif sejak beberapa bulan lalu di sekitar selatan tanah air.

“Berikutan itu polis memburu dua rakan suspek yang meloloskan diri menggunakan sebuah kereta Nissan Sunny bernombor pendaftaran JCM 97XX bagi membantu siasatan.

“Suspek dikatakan menghala ke arah selatan dan polis akan mengadakan sekatan jalan raya serta meminta bantuan polis di negeri lain untuk mengesan mereka," katanya.

Orang ramai yang ada maklumat mengenai kejadian itu diminta menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tampin melalui Asisten Superintendan Khairil Anuar Saidin di talian 06-4411209 atau 06-4431999 bagi membantu siasatan.

Osman berkata, sejak beberapa hari lalu pihaknya mempergiatkan intipan dan operasi pencegahan jenayah di seluruh Negeri Sembilan, termasuk Tampin, dalam usaha memburu penjenayah, terutama membabitkan kes samun dan pecah rumah.

Sementara itu, Mohd Khalid yang juga ketua cawangan kawasan berkenaan berkata, dia yang lena tidur terkejut apabila terdengar bunyi bising rusa ternakannya dan segera menghubungi polis untuk tindakan selanjutnya.

Menurutnya, tidak lama kemudian dia mendapati sepasukan polis berada di sekitar kawasan rumahnya dan semua suspek ditembak mati.

No comments:

Post a Comment