Search This Blog

Saturday, July 17, 2010

Tiada kaitan dengan jenayah di Selangor



KUALA LUMPUR 16 Julai - Sindiket penyeludupan bayi yang didakwa melibatkan ahli perniagaan bergelar Datuk di Sarawak baru-baru ini tidak mempunyai kaitan dengan jenayah sama yang pernah berlaku di Banting, Klang dan Kajang di Selangor pada Disember lalu.
Ini kerana, berdasarkan siasatan awal Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, kedua-dua sindiket itu tidak mempunyai kaitan sebaliknya bergerak secara berasingan.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd. Bakri Mohd. Zinin berkata, polis bagaimanapun memandang serius jenayah itu dan telah mengarahkan semua kontinjen negeri supaya menyiasat kes-kes seumpama itu sehingga ke lubang cacing supaya perkara yang sama tidak berlaku lagi.
"Walaupun kita di Bukit Aman tidak menubuhkan pasukan khas untuk menyiasat kes tersebut, namun kita tetap memantau jenayah penyeludupan bayi di seluruh negara," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Mohd. Bakri bagaimanapun enggan mendedahkan sama ada sindiket yang hampir sama aktif di negeri-negeri lain atau sebaliknya kerana dikhuatiri mengganggu siasatan.
"Kita serahkan kontinjen negeri untuk melakukan siasatan," jelasnya.
Disember lalu, polis membongkar kegiatan sindiket penjualan bayi berusia antara enam dan 18 bulan di Banting, Klang dan Kajang, Selangor, yang didalangi oleh seorang ibu dan dua anaknya.
Kesemua bayi terbabit dijual dengan harga antara RM5,000 dan RM18,000.

No comments:

Post a Comment