Search This Blog

Thursday, July 15, 2010

Terima rasuah RM370 dipenjara setahun, denda RM20,000



KUALA LUMPUR 14 Julai - Bagaikan tidak menyangka dia akan dipenjarakan, seorang anggota trafik berpangkat konstabel hari ini hanya mampu mengalirkan air mata selepas dijatuhi hukuman penjara setahun dan denda RM20,000 setelah disabitkan bersalah atas dua pertuduhan rasuah, dua tahun lalu.
Hakim Mahkamah Sesyen di sini, Abu Bakar Katar memerintahkan hukuman itu ke atas Mahazan Mat Halim, 28, yang bertugas di Balai Polis Trafik Jalan Tun H.S. Lee selepas mendapati tertuduh gagal menimbulkan sebarang keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.
Hakim tersebut bagaimanapun membenarkan pelaksanaan hukuman tersebut ditangguhkan dengan syarat peguam bela, Mohd. Hairani Samsi yang mewakili tertuduh memfailkan notis rayuan di Mahkamah Tinggi sebelum pukul 2 petang esok.
Mahazan didakwa menerima rasuah sebuah telefon bimbit jenama Nokia 6120 dan wang tunai RM20 daripada seorang pengguna jalan raya, Zainudin Maiden pada pukul 7.30 malam di Batu 5 1/2, Jalan Cheras, Kajang berhampiran Taman Midah, Cheras di sini.
Bagi tuduhan kedua, dia didakwa meminta rasuah RM350 daripada Zainudin pada pukul 6.30 petang, dua hari kemudian di Stesen Minyak Shell, 111, Jalan Maharajalela di sini.
Tertuduh didakwa menerima dan meminta rasuah itu sebagai dorongan untuk tidak mengeluarkan saman terhadap Zainudin yang melakukan kesalahan lalu lintas seperti menggunakan telefon bimbit ketika memandu, tidak memakai tali pinggang keledar serta cukai jalan yang telah tamat tempoh.
Dia didakwa mengikut Seksyen 11(a) Akta Pencegahan Rasuah 1997 dan dihukum mengikut Seksyen 16 akta sama yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda maksimum RM10,000 atau lima kali ganda nilai suapan mengikut mana yang lebih tinggi.
Bagi setiap kesalahan tersebut, dia dikenakan hukuman penjara setahun dan denda RM10,000. Jika gagal bayar denda, dia boleh dipenjara lima bulan.
Hukuman tersebut bagaimanapun diperintahkan berkuat kuasa serentak.
Terdahulu, Mohd. Hairani merayu agar anak guamnya dikenakan hukuman ringan atas alasan tertuduh perlu menjaga kebajikan kedua orang tuanya yang merupakan petani di kampung selain menyara isteri dan anaknya.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Azizun Mohamad.

No comments:

Post a Comment