Search This Blog

Saturday, July 24, 2010

Temui ajal dalam tali air

KOTA BHARU: Seorang lelaki berusia 55 tahun menemui ajal selepas terjatuh dalam tali air dan lemas dipercayai mengalami kekejangan akibat penyakit sawan dalam kejadian di Kampung Bechah Mulong, semalam.
Kejadian disedari penduduk kampung kira-kira jam 10 pagi, selepas melihat Salleh Ismail terjatuh ketika berada di tepi tali air dan terus tenggelam.
Unit Skuba Bomba dan Penyelamat Kota Bharu dan Balai Bomba Ketereh menjalankan gerakan mencari dan menemui mangsa terdampar di dasar tali air jam 10.30 pagi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Ketereh, Azman Yasok berkata, operasi mencari dan menyelamat mangsa dilakukan sebaik menerima panggilan telefon daripada orang ramai.

Beliau berkata, kejadian disedari penduduk kampung selepas melihat mangsa di tepi tali air terjatuh dan tenggelam.

Katanya, penduduk kampung yang menyedari kejadian itu bergegas memberitahu adik perempuan mangsa Zaiton Ismail, 51, yang ketika itu berada di rumah.

“Selepas hampir 15 minit gerakan mencari mangsa dilakukan, mangsa ditemui di dasar tali air. Bagaimanapun, dia disahkan meninggal dunia.

“Mayat mangsa yang berbaju dan berkain pelikat diserahkan kepada polis sebelum dibawa ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) untuk dibedah siasat,” katanya.

Bapa mangsa yang dikenali Ismail, 70, ketika ditemui di HRPZ II, enggan mengulas mengenai kejadian itu kerana mendakwa ketika itu, dia berada di Kampung Jedok, Tanah Merah.

Menurut penduduk, mangsa sering berkeliaran di kawasan berkenaan dan kejadian itu berlaku dipercayai mengalami kekejangan sawan sebelum terjatuh ke dalam tali air.

Difahamkan, mangsa menghidap sakit mental dan sawan serta tinggal bersendirian di rumah berkenaan yang tidak jauh dari tempat kejadian.
Mangsa dikatakan mendapat bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) khususnya bagi perbelanjaan makan dan minumnya.

No comments:

Post a Comment