Search This Blog

Friday, July 16, 2010

Taufan Conson menuju China, Jepun




Dua orang penduduk setinggan di Teluk Manila menaiki sampan meninggalkan kawasan perumahan mereka yang musnah akibat dibadai taufan Conson, semalam. – AFP


MANILA 15 Julai – Hujan lebat dan angin kencang melanda Asia Timur hari ini, memaksa pihak berkuasa memindahkan beratus-ratus ribu penduduk dari rumah masing-masing di Jepun dan meletakkan China dalam keadaan berjaga-jaga berikutan ramalan banjir terburuk dalam tempoh beberapa tahun.
Di Filipina, bekalan elektrik kembali pulih di berjuta-juta rumah dan sekitar bandar raya Manila selepas taufan Conson membadai ibu negara Filipina ini dengan kekuatan luar biasa berbanding jangkaan sebelum ini, meragut 23 nyawa dan menyebabkan berpuluh-puluh yang lain hilang.
Ribut tropika Risk mengubah taufan itu kepada ribut tropika hari ini, namun Biro Kaji Cuaca Filipina melaporkan, ia dijangka mengumpul kekuatan semula semasa bergerak merentasi Laut China Selatan menuju selatan China dan utara Vietnam.
Menurut laman web ribut tropika Risk (http://www.tropicalstormrisk.com), Conson dijangka mencecah tanah besar esok.
Agensi berita Kyodo di Jepun melaporkan, kerajaan tempatan menasihati kira-kira 300,000 penduduk supaya berpindah setelah Agensi Meteorologi meramalkan hujan lebat daripada satu sistem cuaca berasingan di bahagian barat dan timur negara itu hari ini.
Rakaman televisyen menunjukkan beberapa rumah senget selepas terkena tanah runtuh, air sungai yang melimpah dan kereta yang hampir tenggelam di jalan-jalan yang dinaiki air.
Turut disiarkan adalah rakaman pasukan penyelamat menarik seorang lelaki yang terkandas di sebatang pokok yang tumbang di dalam arus deras.
Pihak berkuasa melaporkan, dua orang terbunuh sementara beberapa yang lain masih hilang.
Sementara itu, bahagian tengah China mungkin berhadapan banjir terburuk sejak bencana yang sama pada 1998, di mana beribu-ribu maut apabila hujan lebat melanda hulu dan bahagian tengah Sungai Yangtze.
“Walaupun situasi terkini di sepanjang Sungai Yangtze masih belum mencapai paras bahaya, ia berada pada tahap kritikal.
“Jika hujan lebat terus berlaku di hulu sungai, diikuti di bahagian tengah dan hilir sungai, banjir buruk seperti pada 1998 mungkin berlaku,” lapor China Daily yang memetik pegawai kanan bencana, Wang Jingquan. – Reuters

No comments:

Post a Comment