Search This Blog

Thursday, July 15, 2010

'Tak pernah ugut Sheila'

KUALA LUMPUR: “Saya semakin tertekan selepas plaintif (Sheila) membuat kenyataan di akhbar tempatan memburukkan saya, kononnya dia ditipu saya tetapi pada masa sama terpampang di akhbar itu gambarnya memakai rantai jenama Chopard dan cincin yang saya hadiahkan,” kata Ketua Pegawai Eksekutif D'Navechee Datuk Azlina Che Abdullah di Mahkamah Tinggi, di sini, semalam.
Dia berkata demikian pada prosiding saman ganti rugi yang dituntut pelakon dan penerbit, Sheila Rusly terhadap rakan kongsinya itu. Azlina yang diwakili peguam Mohd Firuz Jaffril berkata, suaminya sering menegur kerana dia lebih memberi tumpuan kepada Nasi Dagang House (NDH) berbanding urusan rumah tangga.
Justeru, dia tertekan apabila Sheila meninggalkan pengurusan NDH pada September 2005 dan membiarkan defendan menguruskan sendiri restoran itu.

“Saya tertekan, kesihatan saya merosot dan merasakan seolah-olah plaintif mempermainkan saya,” katanya kesal.

Tambahnya, dia menerima khidmat pesanan ringkas (SMS) ugutan daripada pihak tidak dikenali supaya menutup Restoran Nasi Dagang Ulik Mayang yang baru dibuka suaminya. “Saya tidak pernah menghina atau mengugut plaintif seperti dikatakannya sebelum ini. Cuma saya ada menyatakan walaupun plaintif seorang artis, restoran tidak boleh maju sekiranya masakan yang disediakan tidak sedap.

“Selepas pertemuan untuk membincangkan draf perjanjian kali kedua, plaintif langsung tidak menghubungi defendan, malah panggilan dan SMS defendan juga tidak berbalas. “ Saya kemudian menghubungi suami plaintif yang memaklumkan bahawa plaintif merajuk dengan saya,” katanya. Defendan turut memberitahu mahkamah dia tidak pernah menghantar SMS yang bermaksud untuk mengugut plaintif dan sekiranya plaintif ada menyatakan defendan berbuat demikian, defendan mendakwa itu tuduhan tidak berasas. “Selain itu dakwaan yang mengatakan saya yang menutup Nasi Dagang House adalah tidak benar kerana menerusi peguam masing-masing, kami bersetuju untuk membubarkan perniagaan itu selain restoran itu tidak lagi beroperasi selepas plaintif gagal ikut giliran untuk menguruskan restoran pada Oktober 2005,” katanya.

Menjawab soalan peguamnya berhubung pembukaan restoran Ulik Mayang yang terletak dua pintu dari Nasi Dagang House, Azlina menjelaskan bahawa dia tidak terbabit langsung dalam urusan perniagaan baru itu kerana ia di bawah tanggungjawab suaminya, Datuk Stapa Omar.

Azlina, 42, turut menegaskan dalam kenyataannya bahawa dia tidak perlu membayar semula modal RM55,000 yang dituntut Sheila berikutan tidak melakukan sebarang kesalahan dalam urus niaga perkongsian termasuk tidak menyebabkan perniagaan itu ditutup.

Sheila, 39, memfailkan saman terhadap Azlina pada 16 Disember 2005 menuntut antara lain, RM55,000 iaitu modal yang dilaburkannya dalam perniagaan itu selain perintah supaya defendan diarah membayar semua keuntungan bagi NDH yang diperoleh dari 1 Oktober 2005 sehingga tarikh penghakiman. Dia turut memohon ganti rugi am, teruk dan teladan. Terdahulu, Azlina memberitahu mahkamah ketika NDH mula beroperasi, tiada perjanjian bertulis kerana ketika itu dia ke Makkah menunaikan umrah dan plaintif mengubahsuai restoran. Selepas NDH beroperasi pada Ogos 2005 barulah mereka bercadang untuk membuat perjanjian perkongsian.

“Saya memberi secara am syarat yang perlu dalam draf perjanjian perkongsian, namun isinya dicadangkan oleh Azmi dari Tetuan Muaz & Co,” katanya.

No comments:

Post a Comment