Search This Blog

Saturday, July 24, 2010

'Tak percaya cucu hanyut'

KUALA KETIL: “Saya terkedu apabila diberitahu cucu kesayangan hanyut ketika mandi bersama empat rakannya di Sungai Muda.
“Seperti tidak percaya kerana dia beritahu mahu ke perpustakaan awam di Kampung Paya Menora mengulang kaji pelajaran,” kata Mariam Hussin, 64, nenek kepada Nurshafikah Ismail, 12, yang lemas ketika mandi di Sungai Muda di Kampung Belida di sini, kelmarin.
Dalam kejadian jam 4.30 petang itu, mangsa yang bakal menduduki Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) tidak lama memberitahu Mariam untuk mengulang kaji pelajaran bersama rakan sekelas di perpustakaan itu.

Murid tahun enam Sekolah Kebangsaan Mohd Ariff Abdullah (SKMAA) di Kampung Guar Chempedak itu sebelum ini tidak pernah ke Kampung Belida untuk mandi sungai kerana sering menasihatkan neneknya mengenai bahaya mandi di sungai.

Mariam berkata, sejak tiga hari lalu, mangsa yang juga anak yatim piatu sering ke kampung berkenaan untuk bertemu rakan sekelas dan tidak menyangka kehadirannya di kampung terbabit semalam untuk kali terakhir.

“Saya tak sedap hati apabila mendapat tahu Nurshafikah dihanyutkan arus sungai yang pernah menjadi tempat projek mengorek pasir serta mempunyai banyak lubuk dan dasar yang dalam.

“Saya begitu menyayanginya kerana memeliharanya sejak berusia enam tahun selepas kematian kedu ibu bapanya. Selama ini, dia menjadi penyeri rumah kerana saya pun ibu tunggal,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian, di sini, semalam.

Sebelum kejadian, mangsa bersama empat rakan lain dikatakan pergi ke satu kawasan tebing berbatu untuk mandi. Bagaimanapun, ketika berjalan di atas batu yang licin, mangsa dikatakan tergelincir lalu terjatuh sebelum dihanyutkan arus deras. Menyedari keadaan itu, empat rakan lain segera mendapatkan pertolongan penduduk kampung untuk menyelamatkan mangsa tetapi terlambat kerana murid berperwatakan pendiam itu tenggelam dibawa arus. Mayat mangsa ditemui kira-kira jam 10 pagi semalam di kawasan kira-kira satu kilometer dari tempat kejadian oleh penduduk dibantu lima anggota unit penyelam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sungai Petani dalam operasi bermula jam 5.30 petang kelmarin hingga 2 pagi.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Baling, Abd Kudus Abd Malik berkata, arus air sungai deras, cuaca gelap selain keadaan air keruh menyukarkan operasi mencari.

“Bagaimanapun, kita bersyukur berikutan penemuan mayat mangsa pagi ini dalam keadaan baik dan berterima kasih atas kerjasama penduduk kampung, polis dan anggota Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM),” katanya.

Mayat mangsa dihantar ke Hospital Baling untuk dibedah siasat sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Guar Chempedak selepas solat Jumaat, semalam.

No comments:

Post a Comment