Search This Blog

Sunday, July 11, 2010

Suami minta dibicara



15/7
MELAKA: Seorang anggota tentera yang cuba menoreh kemaluan isterinya awal Mei lalu, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, kelmarin atas pertuduhan dengan sengaja mendatangkan kecederaan parah terhadap mangsa.
Md Khairudin @ Ab Ka-Shah Panirin, 40, membuat pengakuan itu sejurus mendengar pertuduhan dibacakan dan diterangkan jurubahasa mahkamah.
Berdasarkan pertuduhan, dia didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan parah terhadap Hashimah Nong, 40, dengan menggunakan sebilah pisau kecil di sebuah rumah No 26 Jalan BP 14, Taman Bertam Perdana, dekat sini, kira-kira jam 9.30 pagi pada 3 Mei lalu.
Dia didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan, jika disabitkan boleh dipenjara 20 tahun dan denda atau sebat.
Sejurus namanya dipanggil dan pertuduhan dibacakan, Md Khairudin yang tidak diwakili peguam mengangguk faham dan meminta dibicarakan di hadapan Hakim Zaharah Hussain.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Haslida Isamail memberitahu mahkamah, pihaknya sudah memperoleh laporan pemeriksaan kesihatan mental tertuduh daripada doktor pakar perubatan psikiatri Hospital Permai, Johor.
Katanya berdasarkan laporan itu, doktor pakar mengesahkan tertuduh layak dibicarakan terhadap pertuduhan dihadapinya itu. Beliau menawarkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin bagi membebaskan tertuduh sementara menunggu perbicaraan kes selesai.
Mahkamah bagaimanapun menetapkan jaminan RM5,000 selepas tertuduh merayu jumlah itu dikurangkan kerana tidak mampu serta menetapkan tarikh sebutan kes pada 18 Ogos depan bagi tertuduh melantik peguam.
Sementara itu pada 10 Mei lalu, Md Khairudin dituduh kali pertama di wad Jabatan Psikiatri dan Kesihatan Mental Hospital Melaka.
Namun, dia hanya mendiamkan diri dan tiada pengakuan direkodkan sebelum Timbalan Pendakwa Raya Salwa Mhd Asrar (ketika itu) memohon tarikh sebutan baru kepada Hakim Elesabet Paya Wan untuk membolehkan tertuduh menjalani rawatan dan pemeriksaan kesihatan mental mengikut peruntukan Seksyen 342 (3) Kanun Prosedur Jenayah dan dibenarkan hakim.
Akhbar ini pada 4 Mei lalu melaporkan bisikan suara jin yang memberitahu konon isterinya berzina dengan orang lain menyebabkan seorang suami menoreh kemaluan wanita malang itu dengan pisau pemotong sayur di rumah mereka di Taman Bertam Perdana, Pulau Gadong.
Dalam kejadian itu, mangsa, Hashimah Nong, 40, sedang bersiap-siap untuk memasak di dapur sebelum diserang suaminya.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Mohd Adnan Abdullah dipetik berkata, mangsa tidak menyangka sama sekali suaminya yang tiba-tiba menerpa dari arah belakang itu bertindak menoreh kemaluannya dengan pisau.
Sumber : Harian Metro

No comments:

Post a Comment