Search This Blog

Thursday, July 15, 2010

Samun wanita: 'Lebai' dicekup meragut

SUNGAI PETANI: Sikap lembut dan perwatakan baik seorang lelaki digelar lebai di kalangan rakannya terbongkar apabila ditahan polis kerana meragut beg tangan seorang wanita di Jalan Kampung Baru di sini, kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira jam 6 petang itu, lelaki berusia 44 tahun itu nekad meragut beg tangan mangsa yang baru turun dari kereta sebelum melarikan diri ke sebuah bangunan terbiar berhampiran sebuah kompleks beli-belah selepas dikejar orang awam.
Sumber polis berkata, tindakan pantas sepasukan anggota Cawangan Pencegahan Jenayah (CPJ) Balai Polis Sungai Petani yang tiba sebaik mendapat maklumat orang awam mengenai kejadian itu dapat mengesan tempat persembunyian lelaki terbabit.

Katanya, anggota polis memeriksa bangunan terbiar itu dan menemui suspek yang begitu terkejut dengan kehadiran anggota polis dan cuba melarikan diri ke kawasan perumahan berhampiran bangunan itu.

“Bagaimanapun, lelaki itu diberkas anggota polis yang mengejarnya sejauh kira-kira 20 meter dari bangunan berkenaan. Selepas diperiksa, polis menemui wang tunai RM1,000 dan tasbih dalam saku seluar dan bajunya, tetapi tidak menemui beg tangan yang diragut. “Selepas disoal siasat, lelaki itu membawa anggota polis ke tempat dia membuang beg tangan wanita yang diragutnya dalam semak berhampiran landasan kereta api,” katanya.

Suspek, seorang duda dari Karangan, Kulim dibawa ke Balai Polis Sungai Petani dan kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan.

Sementara itu, mangsa, Normah Che Kok, 35, dari Taman Bandar Baru, Sungai Lalang, di sini berkata, sebelum kejadian dia baru mengeluarkan wang RM2,000 dari sebuah bank untuk bayaran ansuran keretanya.

“Selepas membayar ansuran kereta RM900, saya ke kedai cat berhampiran bank dan ketika mahu keluar dari kereta, beg tangan direntap lelaki terbabit,” katanya. Katanya, kira-kira setengah jam selepas itu, dia dimaklumkan lelaki itu berjaya ditahan dan polis menemui semula beg tangan bersama pelbagai dokumen miliknya.

“Saya berterima kasih kepada polis kerana tindakan pantas mereka menahan peragut terbabit dan menemui kembali beg tangan serta wang tunai RM1,000 walaupun jumlah sebenar wang tunai dilarikan ialah RM1,400.

“Saya tidak kisah baki wang tunai RM400 yang sudah dibelanjakan peragut itu kerana yang penting pelbagai dokumen berjaya diperoleh semula,” katanya.

No comments:

Post a Comment