Search This Blog

Friday, July 16, 2010

Saman tuntutan sebagai hadiah hari lahir bapa


SEORANG bapa, Baharom Long, 85, menunjukkan dokumen tuntutan saman sebanyak RM2 juta terhadap tiga anak kandungnya kerana mengurung dan memaksa beliau menyerahkan dua lot tanah kepada mereka dua tahun lalu, di Mahkamah Sivil Shah Alam, Selangor, 15 Julai. - Utusan/SAHARUDDIN ABDULLAH


KUALA LUMPUR 15 Julai - "Saya mengharapkan anak-anak menghadiahkan kek sebaliknya pada hari ulang tahun kelahiran saya ini, saya dikehendaki hadir ke mahkamah untuk menjawab saman mereka.
"Memandang ulang tahun ke-85 saya hari ini jatuh pada hari sebutan kes pertama saman tuntutan mereka, saya terpaksa mengambil langkah ini iaitu memfailkan saman ke atas mereka pula.
"Semoga ini akan menjadi pengajaran berguna untuk mereka."
Begitulah rintihan yang disuarakan Baharom Long, 85, yang bertindak memfailkan saman terhadap tiga anaknya.
Saman itu difailkan Baharom yang mendakwa anak-anaknya secara bersama dan/atau berasingan bertindak di luar batasan undang-undang memaksanya menandatangani surat akuan menyerahkan harta kepada mereka.
"Mereka pernah mengurung saya di sebuah rumah, kira-kira tiga tahun lalu dan tindakan mereka itu membuatkan saya trauma dan ketakutan setiap kali tinggal seorang diri," katanya kepada Utusan Malaysia di rumahnya di Selayang dekat sini hari ini.
Beliau mendakwa telah dipaksa menandatangani surat akuan sumpah pembahagian lot tanah miliknya di Selayang dan lot tanah arwah isterinya di Kampung Nakhoda, Batu Caves pada 3 Disember 2007.
Menurut Baharom, dia telah didatangi oleh anak keduanya, Zakariah selepas selesai sembahyang zuhur di sebuah masjid.
"Pada mulanya saya tidak mengesyaki apa-apa, tetapi mula saya menyedari ditipu apabila dia (Zakariah) membawa saya ke sebuah flat di Kampung Laksamana.
"Di sana, dua lagi anak saya menunggu dan sebaik saja saya masuk, semua pintu dan tingkap ditutup termasuk lampu dan kipas.
"Kemudian anak ketiga, Musa, 50, mengugut sambil mengacukan pen ke muka saya dan memaksa saya menandatangani sepucuk surat," katanya.
Beliau memberitahu, kerana ketakutan, kepanasan dan kehausan, beliau terpaksa menurunkan tandatangan bagi memuaskan hati mereka.
Bagaimanapun, katanya, selepas kejadian itu, anak-anaknya sering datang ke rumah untuk mendapatkan geran asal tanah terbabit.
"Mereka menceroboh dan menggeledah rumah saya untuk mencari geran itu malah memaki-hamun saya seolah-olah saya ini bukan bapa mereka.
"Kejadian ini menjadikan saya mengalami tekanan emosi dan psikologi yang serius sehingga terpaksa menjalani rawatan di Hospital Selayang," jelasnya.
Sementara itu, seorang lagi anak yang tinggal bersamanya, Roslan, 48, berkata, bapanya telah banyak kali jatuh kerana terlalu runsing dan risau memikirkan hal tersebut.
"Kadangkala disebabkan suara saya sama dengan abang-abang, bapa takut untuk buka pintu biliknya sehingga dia sanggup tunggu anak-anak saya balik dari sekolah.
"Saya harap perkara ini dapat menjadi pengajaran kepada mereka,'' katanya.

No comments:

Post a Comment