Search This Blog

Saturday, July 24, 2010

Saji ayam ‘bangkai’

KUALA LUMPUR: Bimbang rahsia terbongkar, sebuah restoran makanan Barat yang dikesan menyajikan ayam ‘bangkai’ kepada pelanggan sempat menghilangkan semua bukti invois pembelian bagi mengelak diambil tindakan oleh pegawai jabatan agama.
Difahamkan, restoran terbabit sebelum ini menimbulkan keraguan pegawai Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) selepas didapati mendapatkan bekalan daging ayam dari sebuah pusat pemprosesan yang tidak diberi pengesahan halal pihak berkuasa itu.
Lebih mengejutkan apabila restoran itu dikesan menggunakan sijil halal tidak diiktiraf Jakim untuk meyakinkan pelanggan Islam menjamu selera di premis berkenaan.

Dalam serbuan jam 10 pagi semalam, sepasukan pegawai Jakim diketuai Penolong Pengarah Cawangan Pemantauan dan Penguatkuasaan Bahagian Hab Halal Jakim, Amri Abdullah bersama pegawai Jabatan Agama Islam Wilayah persekutuan (Jawi) dan pegawai Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) melakukan pemeriksaan di premis itu.

Difahamkan, serbuan dilakukan selepas Jakim, Rabu lalu mengesan sebuah pusat penyembelihan milik individu bukan Islam membekalkan ayam kepada peniaga Melayu dan pemilik restoran halal.

Amri berkata, ketika serbuan dilakukan di kilang penyembelihan itu, pihaknya menemui sejumlah salinan invois urusan jual beli membabitkan restoran makanan Barat itu.

“Susulan bukti itu, kami menjalankan pemeriksaan mengejut, semalam. Malangnya, invois pembelian ayam yang sepatutnya disimpan tiada di premis itu, sebaliknya hanya catatan pembelian di dalam sebuah buku log.

“Pihak kami gagal menemui bukti untuk mengaitkan mereka mendapatkan bekalan ayam dari pusat penyembelihan tidak halal berkenaan,” katanya.

Menurutnya, logo halal yang tertera di hadapan premis itu juga didapati bukan dimohon daripada Jakim atau Jabatan Agama Islam Negeri, sebaliknya daripada sebuah syarikat swasta tidak diiktiraf.

Berikutan itu, beliau menasihatkan orang ramai yang ingin menjamu selera di mana-mana restoran supaya tidak terpedaya dengan logo halal yang tidak diiktiraf.

No comments:

Post a Comment