Search This Blog

Friday, July 16, 2010

RM1 modal curi

KUALA LUMPUR: Modal yang digunakan hanyalah RM1 namun hasil yang diperoleh kerap kali menjangkau lebih RM1,000 dalam sekelip mata.
Itulah antara umpan yang diguna pakai geng penjenayah warga asing ketika memperdaya mangsa dengan mencampakkan wang kertas di atas lantai bagi menarik perhatian mangsa untuk mengutipnya.
Peluang sedetik itu diambil kesempatan penjenayah untuk melarikan beg tangan atau menyeluk dompet duit dari saku mangsa sebelum menghilangkan diri.

Dalam kejadian terbaru, seorang pelajar Kolej Universiti Islam Malaysia (KUIM) menjadi mangsa apabila kerugian lebih RM2,500 selepas tunduk mengambil wang yang dijatuhkan penjenayah.

Sumber polis berkata, dalam kejadian pada jam 12.50 tengah hari kelmarin, mangsa yang berusia 43 tahun dan berasal dari Algeria sedang makan tengah hari di sebuah restoran makanan segera di Jalan Sultan, di sini.

Menurutnya, ketika sedang menjamu selera, seorang lelaki tidak dikenali tiba-tiba menyapanya dari belakang memberitahu duit kertas milik mangsa terjatuh di atas lantai.

“Mangsa yang tidak mengesyaki apa-apa kemudian mendapati sekeping wang kertas bernilai RM1 berada tidak jauh dari kakinya sebelum mengutip wang kertas berkenaan,” katanya.

Katanya, sebaik mangsa tunduk, suspek tiba-tiba menarik beg mangsa yang diletakkan di atas kerusi bersebelahan sebelum melarikan diri.

“Mangsa hanya tersedar perkara itu beberapa minit kemudian dan mendapati beg bimbit berisi komputer riba, dokumen serta pelbagai barang berharga lain bernilai lebih RM2,500 dilarikan lelaki terbabit.

“Lebih mengejutkan apabila suspek didakwa sengaja meninggalkan beg kosong di kerusi mangsa dipercayai untuk memperdaya mangsa. Mangsa kemudian membuat laporan di balai polis berhampiran,” katanya.

No comments:

Post a Comment