Search This Blog

Friday, July 16, 2010

Rasuah: Dua termasuk inspektor polis diperintah bela diri

KUALA LUMPUR: Dua lelaki termasuk seorang anggota polis berpangkat inspektor diperintah membela diri pada 17 Ogos depan atas tuduhan rasuah membabitkan RM3,000 dari seorang peniaga, pada enam tahun lalu.
Hakim Abu Bakar Katar menetapkan tarikh itu selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap V Vijayan, 32, dan Anthony Michael Joseph, 44, terhadap empat pertuduhan rasuah yang mereka hadapi.
Bagaimanapun Hakim Abu Bakar menggugurkan satu dari tiga pertuduhan yang dihadapi Inspektor Vijayan, dari tuduhan meminta rasuah berjumlah RM5,000 dari S Ganeswaran.

Sebaliknya Vijayan yang bertugas di Balai Polis Brickfields di sini diminta membela diri atas tuduhan secara rasuah bersetuju untuk terima wang berjumlah RM3,000 dari Ganeswaran sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan ke atas peniaga itu kerana didakwa mengupah dua lelaki warga India yang tidak mempunyai pas pekerjaan di Blok 17, Taman Setapak Indah, di sini pada jam 1.00 sehingga 2 petang, 20 Ogos 2004.

Bagi kesalahan itu, dia didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 11(a) Akta Pencegahan Rasuah 1997.

Manakala Anthony (gambar), seorang ahli perniagaan yang turut melakukan kesalahan pada tempat dan tarikh sama didakwa bersubahat bersetuju dengan Vijayan menerima wang itu.

Dia didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 10(a)(aa) yang dibaca bersama Seksyen 20(1)(c) akta yang sama.

No comments:

Post a Comment