Search This Blog

Friday, July 16, 2010

PPDNKK Taiping rampas barang cetak rompak dan tiruan setengah juta ringgit



IPOH - Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (PPDNKK) daerah Taiping merampas pelbagai barangan cetak rompak dan tiruan bernilai lebih setengah juta ringgit membabitkan 67 kes dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini.

Ketua Cawangannya, Basharuddin Mohiyuddin berkata, kesalahan itu membabitkan Akta Hak Cipta 1987 sebanyak 27 kes, Akta Perihal Dagangan (13 kes) dan Akta Kawalan Bekalan 1961 (27 kes).

Katanya, kesalahan di bawah Akta Hak Cipta (AHC) pula membabitkan rampasan VCD, CD dan DVD keseluruhan sebanyak 52,854 keping bernilai kira-kira RM391,290.

"Sementara itu, kesalahan di bawah Akta Perihal Dagangan (APD) pula membabitkan rampasan VCD,CD dan DVD sebanyak 4,546 keping bernilai RM34,728.

"Manakala, rampasan kasut tiruan pelbagai jenama sebanyak 703 pasang, baju berjenama Nike dan Adidas (40 helai), seluar jeans jenama Levis (43 helai) membabitkan nilai keseluruhan RM23,000. Turut dirampas dalam operasi terbabit ialah bekalan diesel sejumlah 43,510 liter bernilai RM73,967," katanya ketika ketika dihubungi hari ini.

Basharuddin berkata, kesemua hasil rampasan itu diperolehi menerusi operasi di sekitar daerah ini termasuk di lokasi tumpuan awam seperti premis perniagaan, pasar malam dan pasar harian.

"Kami akan meneruskan operasi ini dari semasa ke semasa bagi memastikan kegiatan menjual barangan cetak rompak dan tiruan dapat dihapuskan sekali gus menyelamatkan pengguna dari ditipu," katanya.

Dalam operasi terbaru dijalankan di Kamunting pada 12 Julai lalu, PPDNKK Taiping berjaya menahan seorang lelaki berusia 20-an di sebuah premis dan merampas lima ribu keping DVD cetak rompak bernilai RM50,000.

Basharuddin berkata, lelaki terbabit direman selama tiga hari bagi membantu siasatan mengikut kesalahan Akta Hak Cipta 1987 iaitu mempamerkan barangan cetak rompak untuk jualan.

"Jika sabit kesalahan, setiap keping DVD cetak rompak yang dirampas di kenakan denda RM2,000 sehingga maksimum keseluruhan RM20,000 atau penjara lima tahun atau kedua-duanya sekali.

"Setelah disiasat, premis berkenaan didapati melakukan beberapa kesalahan sama sebelum ini," katanya.


No comments:

Post a Comment