Search This Blog

Sunday, July 11, 2010

Pokok tumbang hempap rumah

KUANTAN: Lima beranak yang asyik menonton televisyen di Bandar Indera Mahkota Dua, di sini, dikejutkan dengan bunyi dentuman kuat sebelum mendapati rumah mereka hampir ranap dihempap pokok ketika ribut, malam kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira jam 10.30 malam, lima beranak terbabit yang berada di ruang tamu terselamat kerana pokok tumbang menimpa bahagian dapur rumah mereka.
Menurut mangsa, Jarruzy Nor Adzahar, 39, dia terus berlari ke arah dapur sejurus mendengar bunyi kuat itu untuk memeriksa puncanya sebelum terkejut mendapati bumbung dapurnya roboh.

“Pokok yang tumbang itu turut merosakkan beberapa perabot dan perkakas elektrik. Saya tidak dapat bayangkan jika pokok itu tumbang di bahagian ruang tamu ketika kami menonton televisyen.

“Biarpun dapur rumah rosak teruk, saya bersyukur tiada kecederaan berlaku ke atas keluarga saya,” katanya yang menghubungi Balai Bomba dan Penyelamat Indera Mahkota untuk mendapatkan bantuan memotong pokok tumbang itu.

Katanya, kejadian dialaminya berlaku sehari selepas sebatang pokok menghempap taman bimbingan kanak-kanak berhampiran rumahnya yang menyebabkan seorang guru nyaris maut.

“Saya tidak menyangka kejadian sama akan menimpa saya dan ini menjadi pengalaman yang tidak akan dilupakan seumur hidup.

“Sehingga kini saya belum dapat menilai jumlah kerugian kerana mahu menumpukan kepada kerja-kerja pembersihan. Bumbung yang roboh akan ditutup dengan plastik untuk sementara waktu bagi mengelak air hujan masuk,” katanya.

Jarruzy berkata, kejadian pokok tumbang dapat dielak jika pihak berkuasa tempatan (PBT) mengambil tindakan segera terhadap laporan penduduk mengenai pokok besar yang uzur di perumahan itu.

“Kami mendapati pokok besar yang menjadi hiasan di perumahan ini tidak diselenggara apabila dahannya tidak dicantas, selain pokok tua tidak ditebang.

“Malah kami mendapati pangkal pokok tua itu juga reput kerana dimakan anai-anai, menyebabkan ia mudah tumbang,” katanya.
Katanya, berikutan dua kejadian bangunan dihempap pokok berlaku dua hari berturut-turut, penduduk kini berasa bimbang kerana ada satu lagi pokok tua menunggu masa untuk tumbang dan berharap PBT mengambil tindakan segera bagi mengelak kejadian lebih buruk berlaku.

No comments:

Post a Comment