Search This Blog

Friday, July 16, 2010

Perancis lulus larang burqa, niqab

SEORANG wanita memakai niqab sedang membeli-belah di  Venissieux, Lyon.
SEORANG wanita memakai niqab sedang membeli-belah di Venissieux, Lyon.
Penutup muka dikatakan tak sejajar idealisme kesamarataan jantina PARIS: Dewan rendah Perancis meluluskan larangan pemakaian tudung menutup muka, burqa, sebahagian usahanya untuk mendefinisikan dan melindungi nilai Perancis yang dikatakan dicemari nilai penduduk pendatang.
Penyokong undang-undang menyatakan penutup muka itu tidak sejajar dengan idealisme kesamarataan jantina Perancis atau tradisi sekularnya. Rang undang-undang itu agak penuh kontroversi di luar, namun popular di Perancis di mana hanya segelintir pengkritik lantang berkata, Presiden konservatif Nicolas Sarkozy bertukar menjadi xenofobia (takut kepada perkara asing) untuk menarik pengundi berhaluan kanan.
Larangan pemakaian burqa dan niqab akan dibahaskan September ini dalam Senat, di mana jika diluluskan akan menjadi undang-undang. Halangan terbesarnya kemungkinan muncul selepas itu, apabila pemerhati perlembagaan Perancis menelitinya. Sesetengah ahli akademik perundangan berkata wujud peluang ia mungkin bercanggah dengan perlembagaan.
Isu itu diperdebatkan di seluruh Eropah di mana Sepanyol dan Belgium sudah mempunyai larangan sama di tempat kerja. Di Perancis, yang memiliki penduduk Islam terbesar di Eropah iaitu lima juta daripada keseluruhan 64 juta penduduknya, pemakaian tudung kepala adalah biasa, tetapi hanya kira-kira 1,900 wanita dipercayai memakai penutup muka.
Badan utama mewakili penduduk Islam Perancis percaya pemakaian itu tidak sesuai di negara itu, namun ia bimbang larangan itu akan memberi stigma kepada semua penduduk Islam.
Ketua Pengarah Rangkaian Islam Eropah, Malika Hamidi, berkata beliau amat bimbang penyokong larangan itu memainkan perasaan takutkan kepada Islam ketika Eropah rasa terancam identitinya diubah, bertungkus lumus menguruskan kepelbagaian masyarakat dan berurusan dengan krisis ekonomi.
Dalam undian di Parlimen kelmarin, 335 undian menyokong rang undang-undang itu dan hanya satu menentang. Kebanyakan anggota kumpulan utama pembangkang, Parti Sosialis, berjalan keluar dan enggan mengundi, walaupun mereka pada hakikatnya menyokong larangan itu. Mereka hanya berbeza pendapat dari segi di mana ia perlu dikuatkuasakan, menguatkan lagi kontroversi di kalangan ahli politik Perancis berhubung isu itu.
Rang undang-undang itu melarang pemakaian penutup muka di mana saja dianggap tempat awam, walaupun di jalanan, namun Sosialis mahukannya di tempat tertentu, seperti bangunan kerajaan, hospital dan pengangkutan awam. AP

No comments:

Post a Comment