Search This Blog

Saturday, July 24, 2010

Peragawati menangis dijel tujuh tahun

KUALA LUMPUR: Seorang peragawati menangis teresak-esak di Mahkamah Sesyen di sini semalam ketika dikenakan hukuman tujuh tahun penjara selepas didapati bersalah terhadap tuduhan memiliki 10 ketulan mampat bahan tumbuhan jenis kanabis pada tahun lalu.
Hakim Muhammad Sekeri Mamat menjatuhkan hukuman itu selepas pihak pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya Yong Ann Nee membuktikan keraguan munasabah terhadap Nor Azlina Noor Akhmad, 28.
Muhammad Sekeri memerintahkan Nor Azlina menjalani hukuman itu bermula dari tarikh ditangkap iaitu 20 Januari 2009.

Beliau bagaimanapun mengecualikan tertuduh daripada hukuman sebatan dengan alasan statusnya wanita.

Turut berada di mahkamah semalam seorang wanita dipercayai ibu tertuduh turut teresak-esak menangis ketika hukuman terhadap anaknya dijatuhkan.

Terdahulu, peguam bela M K Thas merayu kepada mahkamah agar anak guamnya itu dikenakan hukuman ringan memandangkan tertuduh penanggung tunggal keluarga terutama ibunya yang memerlukan perhatian kerana sudah tua.

Mengikut pertuduhan dia, didakwa memiliki 10 ketulan mampat bahan tumbuhan dadah kanabis di No 12-11-12, Hartamas Regency Condo 1, Persiaran Dutamas, Off Jalan Duta, Sri Hartamas, di sini pada jam 11.30 malam, 20 Januari 2009.

Dia bagaimanapun mengaku tidak bersalah ketika pertama kali dihadapkan ke mahkamah pada 30 Januari tahun lalu. Dia didakwa mengikut Seksyen 39A(2) Akta Dadah Berbahaya boleh dihukum mengikut seksyen sama memperuntukkan penjara seumur hidup dan sebatan tidak kurang 10 kali jika sabit kesalahan.

No comments:

Post a Comment