Search This Blog

Friday, July 16, 2010

Penuntut UiTM Shah Alam tewaskan peragut



SHAH ALAM - Tindakan seorang lelaki meragut beg seorang pelajar perempuan Universiti Teknologi Mara (UiTM) di Persiaran Raja Muda di sini, pagi tadi membawa padah apabila dia kemudiannya dikejar oleh pelajar itu dan akhirnya berjaya ditahan polis.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, ACP Noor Azam Jamaluddin berkata, kejadian berlaku kira-kira pukul 8.15 pagi semasa pelajar yang berumur 23 tahun itu sedang dalam perjalanan ke kampusnya dengan menaiki motosikal. 

Beliau berkata, suspek yang juga menunggang motosikal bertindak meragut beg mangsa yang diletakkan di dalam raga motosikal sebelum mangsa kemudian bertindak mengejar suspek dengan motosikalnya sejauh kira-kira 1.5 kilometer.

"Apabila tiba di satu bulatan U berdekatan dengan deretan kedai di Jalan Jati, Seksyen 3, mangsa telah melanggar motosikal suspek menyebabkan kedua-dua mereka terjatuh dari motosikal masing-masing.

"Selepas terjatuh, mangsa kemudiannya menjerit meminta tolong dan orang awam termasuk dua pegawai polis yang sedang minum di sebuah restoran di deretan kedai berkenaan meluru ke arahnya untuk membantu dan seterusnya menahan suspek," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Noor Azam berkata, suspek kemudian dibawa ke balai polis dan mangsa yang mengalami cedera ringan membuat laporan polis.

Beliau berkata, penahanan suspek berusia lewat 20-an yang didapati mempunyai lima rekod kesalahan lampau itu turut berjaya membantu polis menyelesaikan lima kes ragut di sekitar bandar raya ini.

Suspek kini ditahan reman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan.

Noor Azam mengucapkan terima kasih kepada pelajar berkenaan dan pihak yang membantu dua pegawainya menangkap suspek semasa kejadian.

No comments:

Post a Comment