Search This Blog

Friday, July 16, 2010

Penganggur didakwa bunuh remaja

KEMAMAN: Seorang penganggur dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, semalam, atas tuduhan membunuh seorang remaja lelaki di ladang sawit pada 14 Jun lalu.
Tertuduh, Nik Mustapfa Nik Hassan, 36, didakwa membunuh Abdul Halim Idrus, 19, di sebuah pondok kebun buah-buahan di Lubuk Sadong, Batu 10, Jalan Air Putih, Pasir Gajah, di sini, antara jam 1 pagi hingga 8.40 malam.
Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Farah Yasmin Salleh di hadapan Hakim Ahmad Bazli Bahruddin mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Bagaimanapun, tiada pengakuan dicatatkan daripada tertuduh yang beralamat di Gong Limau, di sini.

Hakim Ahmad Bazli menetapkan 5 Ogos ini sebagai tarikh sebutan semula kes membolehkan pihak pendakwaan memindahkan kes berkenaan ke Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu.

Di mahkamah sama semalam, Nik Mustapfa didakwa atas kesalahan memiliki dadah jenis methamphetamine.

Tertuduh didakwa memiliki bahan larangan itu di rumah kongsi kebun sawit di Kampung Seberang Tayor, Air Putih, di sini, kira-kira jam 3.30 pagi pada 4 Julai lalu.

Sehubungan itu, dia didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 39A(1) akta sama.

No comments:

Post a Comment